'Rakan baik saya sudah tiada'

Laporan muka depan akhbar Sinar Harian, semalam.
Laporan muka depan akhbar Sinar Harian, semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - “Saya kehilangan rakan baik sejak di Universiti Al-Azhar, Mesir,” kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad ketika ditanya mengenai pemergian ulama terkenal, Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz kelmarin.

Mohamad Shukri berkata, beliau mengenali Allahyarham ketika sama-sama melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan pada 1970-an.

Beliau turut mengakui terlalu banyak kenangan beliau bersama Allahyarham terutama ketika peperangan Mesir-Israel. “Walaupun dalam suasana pertempuran, namun Allahyarham tidak menunjukkan riak gentar demi menambah ilmu di perantauan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesanan terakhir Allahyarham Abu Hassan Din

“Malah Allahyarham menjadi sumber rujukan rakan lain sehingga ke akhir hayatnya,” kata beliau.

Menurutnya, selain menjadi salah seorang pelajar terawal menghafaz al-Quran, rakan baiknya itu mempunyai kredibiliti yang tinggi kerana pernah menjadi pegawai agama di Istana Negara ketika di bawah pimpinan Mufti Kelantan, Allahyarham Datuk Mohd Noor Ibrahim pada 1980-an.

Malah, katanya, rakan-rakan lain mudah mesra kerana Allahyarham tidak pernah meninggi diri walaupun beliau lahir daripada keluarga terkenal dan terdidik dalam agama.

Kelmarin, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pemergian pendakwah terkenal itu selepas rebah ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh. Allahyarham Abu Hassan menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun.

Artikel Berkaitan: