Presiden Pas diminta hentikan budaya takfiri, ekstrem - Mujahid

Mujahid, Kenyataan di Facebook Mujahid.
Mujahid, Kenyataan di Facebook Mujahid.
A
A
A

SHAH ALAM - Minda Presiden Pas didakwa berpotensi membawa mudarat sehingga menyebabkan rakyat bermusuhan sesama sendiri kerana pendekatan politik takfiri iaitu melabel orang lain tidak beriman dengan senang hati bercirikan elemen ekstremisme.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, salah satu ciri ideologi takfiri ialah membina hubungan dalam konteks Muslim dan bukan Muslim di negara ini di atas premis permusuhan.

Tambahnya lagi, salah satu ciri ekstremisme politik Islam ialah melabel orang lain dengan berbagai label sebagai fatwa politik yang tidak ada asas, hujah mahupun dalil.

"Jelas dalam tulisan Presiden Pas bahawa beliau menyifatkan politik hari ini dikuasai dan dipengaruhi oleh pengaruh bukan Islam yang 'membahayakan negara'.

"Walaupun konteks asal penulisan ialah menggesa umat Islam keluar mengundi bagi menjalankan tugas demokrasi tetapi alasan kenapa mereka perlu keluar mengundi mendedahkan wajah sebenar Presiden Pas yang sarat dengan pemikiran ekstrem atau takfiri politik Islam yang berpotensi mengancam keselamatan negara.

"Fatwa politik Minda Presiden Pas tiada lain melainkan terdorong untuk melepaskan 'dendam politik' kerana hajat kuasa yang tidak kesampaian," katanya di Facebook pada Rabu.

Pada Selasa, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan keadaan rakyat Malaysia kini berada dalam situasi paling berbahaya kerana negara diperintah oleh golongan yang mendapat pengaruh bukan Islam.

Menurut Abdul Hadi, keadaan itu berlaku apabila masyarakat berpecah, sehingga dikuasai oleh kerajaan yang didominasi oleh bukan Islam susulan ramai umat Islam yang tidak keluar mengundi.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) menggesa Abdul Hadi yang banyak menulis buku supaya diberi ruang dalam mindanya untuk membaca beberapa buku orang lain demi 'Membuka Minda Presiden Pas' ke arah politik Rahmah dan Madani.

"Bagi memurnikan semula minda ekstrem politik Islam Presiden Pas kepada politik Rahmah dan Madani maka saya menyeru supaya kembalilah ke konsep Fiqh al Muwathanah (kewarganegaraan), Fiqh al Maqasid (tujuan Syariat) dan Fiqh al Ta'ayush al Silmi (Hidup Bersama dalam Kedamaian).

"Dengan kejelasan ini tidak timbul lagi istilah kabur dan di awangan seperti 'musuh Islam',.'tidak beriman', 'tidak berakhlak' dan 'syaitan bisu' yang dihemburkan atas hawa nafsu politik tanpa hujah ilmiah yang selayaknya.

"Kerajaan Perpaduan hari ini memperkenalkan Madani dijelaskan konsep dan kerumitan praktikal yang perlu diatasi. Madani adalah berbasiskan prinsip umum syariat dan cabaran mengatasi pelaksanaannya adalah Maslahah Mu'tabarah yang terpakai dalam operasi Maqasid Syariah," ulasnya.