Isu pelajar tercicir masalah besar perlu diselesaikan

Umum mengetahui, pendidikan amat penting dalam mempengaruhi mentaliti seseorang. - Foto hiasan
Umum mengetahui, pendidikan amat penting dalam mempengaruhi mentaliti seseorang. - Foto hiasan
A
A
A

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan minggu lalu menyaksikan seramai seramai 10,000 calon mendapat semua A.

Keputusan tersebut sesuatu yang boleh dibanggakan bukan saja kepada ibu bapa, malah seluruh rakyat kerana menggambarkan Malaysia mempunyai pelapis bijak pandai yang bakal memajukan negara pada masa akan datang.

Situasi riang gembira calon-calon ketika mengambil keputusan SPM di sekolah masing-masing terpampang di akhbar dan media sosial. Ada ibu bapa memeluk erat dan mencium anak mereka, tidak kurang menangis kegembiraan.

Dalam masa sama, pelajar-pelajar cemerlang turut menjadi tumpuan pengamal media bagi menceritakan perasaan, atau paling tidak mendedahkan rahsia kejayaan mereka.

Yang menariknya, ramai yang peroleh keputusan cemerlang itu datang daripada keluarga susah.

Namun, di sebalik kita meraikan kejayaan 10,000 calon cemerlang itu, kita lupa bahawa seramai 70,000 calon lagi dilaporkan tidak layak diberi sijil, sekali gus tidak boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Jumlah itu termasuk 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan.

Tidak cukup dengan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying ketika di Dewan Rakyat pada Isnin juga menyentuh mengenai kadar keciciran pelajar sekolah menengah yang menjadi masalah sosial di negara ini.

Salah satu puncanya ialah pelajar mula bekerja berikutan dihimpit kemiskinan.

Menurut beliau, sehingga Jun 2022, kadar keciciran di seluruh negara di peringkat sekolah menengah mencatatkan sebanyak 0.99 peratus, manakala pada peringkat sekolah rendah adalah 0.07 peratus.

Perkembangan ini adalah sesuatu yang serius, sepatutnya menjadi kerisauan semua pihak. Umum mengetahui, pendidikan amat penting dalam mempengaruhi mentaliti seseorang.

Jika tiada pendidikan, apakah Malaysia boleh bergerak maju ke hadapan apabila ramai rakyatnya mempunyai mentaliti rendah.

Justeru, adalah wajar bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya meneliti isu tersebut, sekali gus mencari mekanisme sewajarnya bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Libatkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang merentasi politik untuk duduk semeja bagi membincangkan serta merangka pelan pemulihan pendidikan negara dengan segera.