PTV dihentikan kerana tidak dapat sambutan - Ahmad

Ahmad ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Rabu. - Foto Bernama
Ahmad ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2022 dibuat kerana tidak mendapat sambutan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan kajian Bank Negara (BNM), hanya 490 individu atau 0.01 peratus daripada 4.9 juta rakyat berpendapatan rendah menyertai program melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM354 juta tersebut.

"BNM membuat kajian daripada 8.7 juta orang yang sepatutnya menerima voucher PTV yang diuruskan 4.9 juta orang dan tuntutan hanya 0.01 atau 490 orang yang mendapat manfaat daripada RM354 juta insurans.

"Jadi terlalu sedikit yang dilindungi dengan PTV itu. Oleh itu, kita meneruskan mySalam (yang diperkenal) sejak 2019 melibatkan had umur 21 hingga 65 tahun dan kita beri RM8,000 untuk 45 penyakit kritikal.

"Jika masuk wad (bayaran) RM50 sehari, dengan maksimum 14 hari dengan (perlindungan) maksimum RM700," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang bertanya mengenai rancangan dasar jangka panjang yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan kadar kemiskinan dalam kalangan B40 dikurangkan.

Sehubungan itu, Ahmad menjelaskan, kerajaan memutuskan untuk meneruskan perlindungan sosial melalui Skim Perlindungan Nasional B40 atau Skim mySalam.

PTV RM75 adalah inisiatif kerajaan menerusi Belanjawan 2022 dengan kerjasama industri insurans dan takaful yang bertujuan untuk memanjangkan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahmad sekali mengulangi pendirian bahawa kerajaan yakin dapat menoktahkan kemiskinan tegar melibatkan 130,000 ketua isi rumah pada tahun ini.

Keyakinan tersebut, katanya, berdasarkan inisiatif-inisiatif yang sedang dilaksanakan kerajaan termasuk menerusi Belanjawan 2023.

Ujarnya, kerajaan antaranya telah meluluskan RM750 juta untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini yang disalurkan menerusi Kementerian Ekonomi.