Sewa tinggi di Singapura bakal lonjak pembelian rumah di Johor

Mohd Jafni ( dua dari kanan) pada Singapura Majlis Undian Terbuka Rumah Transit Bangsa Johor Taman Kempas Utama di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Skudai pada Selasa.
Mohd Jafni ( dua dari kanan) pada Singapura Majlis Undian Terbuka Rumah Transit Bangsa Johor Taman Kempas Utama di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Skudai pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri yakin pembelian hartanah bagi perumahan tidak terjual terutama bernilai RM1 juta akan terus mendapat sambutan pembeli berikutan kadar sewa rumah di Singapura kini dilaporkan antara yang tertinggi di rantau Asia.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pemaju yang mempunyai unit 'overhang' mula memberi maklum balas positif daripada pembeli dari Singapura.

Bagaimanapun, jelasnya kerajaan negeri memberi jaminan kepada pembeli tempatan menerusi dasar perumahan rakyat Johor yang hanya membenarkan jualan hartanah bernilai RM1 juta ke atas kepada warga asing termasuk dari Singapura.

"Kita tengok rumah-rumah 'overhang' di negeri ini mula dapat respons positif dan ada pemaju yang sudah mula menjual hartanah tersebut. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kuantiti kediaman tidak terjual di negeri ini.

"Mengikut rekod, sebanyak 80 peratus kediaman tidak terjual di negeri ini terdiri daripada pangsapuri perkhidmatan terutama di Johor Bahru dan Iskandar Puteri. Daripada jumlah itu, sebanyak 11,512 unit merupakan hartanah bernilai RM500,000 hingga RM 1juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Undian Terbuka Rumah Transit Bangsa Johor Taman Kempas Utama di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Skudai pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, pelbagai langkah akan diambil kerajaan negeri bagi mengurangkan kediaman tidak terjual termasuk mengadakan Expo Perumahan Johor Julai depan.

"Kerajaan akan menganjurkan Expo Perumahan Johor dan ini membabitkan 50 pemaju yang sudah menyatakan kesediaan untuk menyertai expo yang bakal berlangsung di Plaza Angsana selama empat hari bermula 27 Julai," katanya.

Pada 30 Mei lalu, Urban Land Institute melaporkan harga rumah persendirian Singapura mengatasi Hong Kong untuk menjadi yang paling mahal di Asia Pasifik (APAC) pada 2023, sementara sewa di negara itu juga tertinggi di rantau ini.

Indeks Kebolehcapaian Rumah APAC 2023 institut itu menunjukkan harga median atau penengah untuk rumah Singapura ialah AS$1.2 juta (RM5.54 juta) berbanding AS$1.16 juta (RM5.34 juta) di Hong Kong, di mana harga turun 15 peratus tahun lalu.

Rumah Sydney berada pada kedudukan ketiga pada AS$980,000 (RM4.51 juta).

Pasaran hartanah Singapura luar biasa kukuh, dengan harga meningkat 8.6 peratus tahun lalu dan 10.6 peratus pada 2021 mendorong pihak berkuasa untuk memperkenalkan langkah mengurangkan baharu.