Bantuan LKIM galak nelayan tingkat aktiviti tangkapan

Muhammad Faiz (dua dari kanan) menyerahkan bantuan 'touch point' kepada nelayan pada lawatan kerja ke Unit Nelayan Bujang dalam program Rahmah Mesra Madani, baru-baru ini.
Muhammad Faiz (dua dari kanan) menyerahkan bantuan 'touch point' kepada nelayan pada lawatan kerja ke Unit Nelayan Bujang dalam program Rahmah Mesra Madani, baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap bantuan dalam pelbagai aspek kepada golongan nelayan dapat memberi galakan kepada mereka meningkatkan aktiviti tangkapan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, antara bantuan disalurkan kepada nelayan termasuklah elaun sara hidup, subsidi minyak diesel dan petrol serta bantuan 'touch point'.

Beliau berkata, usaha berterusan dan keprihatinan terhadap golongan nelayan membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan dan masa depan golongan itu.

"Pada kali ini, LKIM memberi bantuan 'touch point' seperti enjin bot, tong ikan serta pukat udang dan ikan kembung kepada 50 nelayan berpendapatan rendah (B40) di kawasan Tanjung Dawai.

"Pemberian 'touch point' ini adalah sebagai galakan kepada nelayan mempertingkatkan aktiviti tangkapan ikan dalam usaha LKIM memastikan bekalan ikan yang cukup dan menyokong usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memenuhi keterjaminan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan kerja ke Unit Nelayan Bujang dalam program Rahmah Mesra Madani, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah LKIM Kedah, Mohd Fauzi Ghazali.

Menurut Muhammad Faiz, nelayan diibaratkan seperti hero tidak didendang yang bersusah payah turun ke laut bagi memastikan bekalan ikan mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

"Jadi, kita memberikan sedikit bantuan 'touch point' seperti enjin bot kepada nelayan yang layak untuk memberi galakan kepada mereka.

"Apabila ada enjin bot, nelayan boleh pergi menangkap ikan lebih jauh,maka bekalan akan cukup dan harga jadi murah,"katanya.

Tambah beliau, LKIM juga akan meneliti keperluan unit nelayan di kawasan berkenaan untuk diberikan pembaikan jeti memandangkan ia penting bagi menyokong aktiviti perikanan dan memastikan keselamatan nelayan terjaga.