Jangan putuskan silaturahim kerana politik - Mufti Pulau Pinang

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Umat Islam diingatkan supaya tidak bersikap ekstrem dan terlalu taasub dalam berpolitik sehingga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan dengan kaum kerabat sendiri.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam mementingkan hubungan kasih sayang antara adik-beradik dan kaum kerabat, bukan sahaja antara sesama ahli keluarga malah termasuk yang jauh seperti sepupu sepoyang malah yang lebih jauh lagi ikatan kekeluargaan dengan seseorang.

Menurutnya, banyak ayat al-Quran dan hadis yang mewajibkan hubungan silaturahim antara adik-beradik dan kaum kerabat serta mengharamkan perbuatan memutuskan hubungan tersebut.

"Dalam hadis Rasulullah bersabda, maksudnya barangsiapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat hendaklah dia hubungkan ikatan kasih sayang antara kaum kerabatnya...” (Muttafaq ‘alaih).

"Ada juga hadis yang menyatakan bahawa menghubung silaturahim boleh menyebabkan panjang umur dan murah rezeki.

"Sebaliknya memutuskan hubungan silaturahim merupakan salah satu dosa besar sehingga ada hadis menegaskan bahawa seorang yang berbuat demikian tidak akan masuk syurga (Muttfaq ‘alaih)," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, silaturahim tidak harus diputuskan walau dengan apa sebab sekalipun, hatta dengan sebab seseorang disakiti atau dianiayani oleh mana-mana adik-beradik atau kaum kerabatnya.

Katanya, apa yang patut dilakukan dalam situasi begitu adalah menegur dan memberi kata-kata nasihat yang baik di samping meneruskan hubungan yang baik dengan mereka.

Tegas beliau, jika ada yang melakukan maksiat secara terang dan tidak mahu menerima nasihat, maka bolehlah malah wajib dia dipulau dengan niat semoga akan memberi keinsafan kepadanya.

"Hubungan silaturahim haram diputuskan kerana perbezaan pegangan politik atau kerana berlainan parti politik yang disokong oleh masing-masing.

"Ini adalah kerana parti politik bukan ciptaan ALLAH yang suci daripada kesalahan dan kecelaan, tetapi ia merupakan metodologi berasaskan pemikiran manusia untuk menguasai tampuk pemerintahan dengan matlamat tertentu ingin dicapai.

"Apa jua yang direkayasa oleh pemikiran manusia tentu ada kelemahan dan kekurangannya. Justeru, tidak wajar perbezaan pegangan politik membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam, apa lagi menjadi faktor yang memutuskan hubungan silaturahim antara anggota sebuah keluarga, adik-beradik dan kaum kerabat," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyarankan pemimpin parti politik di negara ini, baik di sebelah kerajaan mahupun pembangkang menjelaskan perkara ini kepada para pengikut masing-masing. Janganlah mereka menjadi 'batu api' yang memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

Sebaliknya, beliau berkata, semua pihak mesti berusaha untuk memperkukuh kesatuan dan perpaduan umat Islam, malah antara sesama warga Malaysia daripada pelbagai kaum dan penganut agama yang berbeza.