Pengasas Harvey Norman umum bertanding pemilihan presiden Singapura

George
George
A
A
A
SINGAPURA - Usahawan, diplomat dan dermawan George Goh Ching Wah, mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam pemilihan presiden Singapura tahun ini.

George, 63, ialah pengerusi Ossia International Ltd dan terkenal kerana mengembangkan jenama Harvey Norman ke Asia dan mengasaskan rangkaian runcit World of Sports.

"George akan bertanding sebagai calon bebas,” kata pasukan medianya dalam satu kenyataan pada Isnin.

George individu kedua yang tampil menyatakan hasratnya untuk bertanding, empat hari selepas Menteri Kanan Singapura Tharman Shanmugaratnam, 66, berbuat demikian.



"Beliau tidak mempunyai hubungan dengan parti politik - dahulu atau sekarang. Beliau tidak mempunyai beban politik dan tidak pernah berada dalam sektor awam.

"Beliau adalah seorang usahawan yang mula bekerja pada usia 16 tahun dan sejak itu telah membina empayar perniagaan yang merangkumi 14 negara," menurut kenyataan itu.

Sejak empat dekad lepas, beliau telah memiliki lebih 100 syarikat, termasuk lima yang tersenarai di bursa saham Singapura dan United Kingdom.

"Beliau mengambil alih dua lagi syarikat senaraian awam," menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan kesemua syarikat berkenaan mempunyai nilai permodalan pasaran sebanyak S$3.15 bilion.

Beliau berbesar hati untuk berkhidmat kepada Singapura sebagai duta bukan pemastautinnya ke Maghribi pada 2017, dalam jawatan kehormat.

Untuk bertanding dalam pilihan raya ini dan kekal sebagai calon bebas, Goh telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Kementerian Luar Negeri pada 9 Jun.

Jabatan Pilihan Raya Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan bahawa permohonan untuk Sijil Kelayakan dan penyerahan akuan masyarakat akan dibuka pada 13 Jun 2023 dan ditutup pada hari kelima selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan.

Ia adalah langkah pertama untuk memulakan pemilihan presiden.

Pada 29 Mei, Presiden Singapura Halimah Yacob mengumumkan beliau tidak bertanding mempertahankan jawatan itu. - Bernama