Cabaran menghadap pemandu 'lenggang-kangkung' di lebuh raya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP kali hari perayaan atau cuti umum yang panjang, pastinya ramai yang akan melakukan perjalanan jarak dekat atau pun jauh. Bagi Merak Jalanan yang duduk berjauhan dengan keluarga akan mengambil kesempatan melakukan perjalanan ke utara.

Selain sikap tolak ansur yang semakin terhakis menyebabkan kemalangan, kadang-kadang Merak Jalanan terfikir terdapat faktor lain yang menyumbang kepada peristiwa ngeri di jalan raya atau lebuh raya.

Antaranya sistem lorong lebuh raya, papan tanda, penandaan garis di jalan yang perlu dikaji semula berdasarkan jumlah kenderaan yang terlalu tinggi selain banyak kenderaan semakin canggih dan laju-laju.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya setiap lorong perlu mempunyai had laju minimum yang berbeza dan bukan had laju maksimum yang berbeza.

Ini bagi mengelak pemandu Malaysia memandu pada mana-mana lorong ikut suka hati tanpa mematuhi disiplin lorong. Kadang-kadang terdapat pemandu yang perlahan 'berlenggang-kangkung' di lorong kanan.

Sementara yang terlebih laju pula mengamalkan prinsip 'kalau tiada lorong kanan, lorong kiri pun berguna juga' untuk memotong. Semua tabiat ini mengundang kekeliruan dan ketakutan bagi pemandu yang berada di belakang terutama di lorong tengah.

Selain itu, disebabkan sekarang ini terlalu banyak lebuh raya baharu yang diselang seli dengan susur keluar dan susur masuk yang memeningkan, mungkin sistem papan tanda sama ada elektronik atau tidak elektronik perlu diperbanyakkan.

Paling jelas, perlu ada pemberitahuan lengkap apabila pemandu sampai dari tiga lorong kepada dua atau sebaliknya.

Bagi pemandu yang senior atau otai, mungkin tidak memerlukan papan tanda atau penandaan lorong sebagai pedoman.

Namun bagi pemandu baharu setahun jagung, mereka perlu membuat homework atau perancangan sebelum memasuki mana-mana jalan raya atau lebuh raya di negara ini.