Pengusaha makan di Kelantan hanya mampu bertahan 6 bulan

Sebahagian daripada ahli yang hadir pada mesyuarat tahunan Permeka di Panji, Kota Bharu.
Sebahagian daripada ahli yang hadir pada mesyuarat tahunan Permeka di Panji, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (Permeka) mendedahkan kebanyakan peniaga makanan di negeri ini dijangka mampu bertahan selama enam bulan sahaja.

Pengerusinya, Nik Hassan Mohd Zain berkata, situasi itu berpandukan kepada statistik yang mendapati 60 peratus perniagaan ahli Permeka ketika ini adalah suram.

"Kami boleh berniaga, tetapi setakat lepas bayar gaji pekerja sahaja.

"Selepas dua tahun serangan wabak Covid-19, peniaga perlu berdepan dengan kenaikan harga barangan, nilai mata wang yang jatuh, serta gaji minimum," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau merasmikan mesyuarat tahunan Permeka yang dihadiri lebih 100 pengusaha restoran di Panji di sini.

Menurut beliau, pihaknya telah sedaya upaya mencuba untuk mengekalkan harga lama tetapi disebabkan kos yang meningkat setiap hari menyukarkan untuk berbuat demikian.

Ujarnya, pelanggan sudah terlalu terbeban sehingga berkira untuk berbelanja seperti sebelum ini.

Nik Hassan memberitahu, disebabkan itu para pengusaha makanan mengalami kejatuhan jualan sekitar 20 hingga 50 peratus setiap bulan.

"Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja dalam kalangan kami yang menawarkan untuk melelong barangan kedai atau restoran mereka kerana sudah tidak mampu meneruskan operasi.

"Kami menyeru pihak kerajaan untuk membantu pengusaha makanan secara bersasar," ujar beliau.

Menurut Nik Hassan, pihaknya berharap agar Program Subsidi Upah (PSU) dipertimbangkan semula.

Tambahnya, jika sebuah restoran ditutup berapa ramai pekerja akan hilang pendapatan.

Beliau memberitahu, kerajaan juga diharap dapat memberikan bantuan bersasar kepada mana-mana pengusaha makanan yang mengalami kejatuhan jualan lebih 30 peratus.