Bayi dipercayai baru lahir dibuang di laut

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Mayat seorang bayi ditemukan terapung berhampiran jambatan di sebuah perkampungan atas air di sini pada petang Sabtu.

Mayat yang belum diketahui jantina itu ditemui kira-kira jam 6.30 petang selepas dilihat oleh penduduk kampung.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu yang memaklumkan ketika melalui jambatan kayu dia telah disapa seorang kanak-kanak lelaki.

"Kanak-kanak itu bertanyakan kepada pengadu mengenai satu objek terapung di atas air sama ada ia adalah patung atau bayi.

"Pengadu kemudian mengamati objek yang terapung dan didapati ia adalah mayat seorang bayi yang dipercayai baru dilahirkan dan terapung di atas air berhampiran jambatan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, pengadu dengan bantuan penduduk telah menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian itu.

"Setakat ini pihak kita belum mendapat sebarang maklumat lanjut mengenai bayi tersebut yang disyaki dibuang di laut selepas dilahirkan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat Inspektor Hatikah Ahmad @ Abd Ghani di talian 016-8337243," katanya.