Selcat adakan sesi pendengaran awam Selasa ini

Suee Lim (tiga dari kanan) pada sidang media di Bangunan Annex hari ini.
Suee Lim (tiga dari kanan) pada sidang media di Bangunan Annex hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) akan mengadakan sesi pendengaran awam berhubung kelewatan projek perumahan Taman Ayer Manis, Panchang Bendena, Selasa ini.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, pendengaran awam bagi isu projek perumahan tersebut dilaksanakan susulan aduan dilontarkan ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman sebelum ini.

Menurutnya, jawatankuasa Selcat bermesyuarat sejak jam 10 pagi tadi dan memutuskan untuk melaksanakan sesi pendengaran awam pada tarikh tersebut.

"Pada 26 Mac 2013 lalu, satu majlis pecah tanah pernah dilaksanakan di kawasan itu namun sehingga kini pelaksanaannya masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif serta menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan rakyat.

"Sepatutnya bagi sesebuah projek fasa pertama, tempoh masa yang diambil hanya sekitar tiga tahun dan ini menunjukkan berlaku kelewatan dalam pelaksanaan projek tersebut," katanya pada sidang media di Bangunan Annex di sini hari ini.

Suee Lim berkata, barisan jawatankuasa Selcat terdiri daripada enam orang ADUN terdiri daripada empat mewakili kerajaan negeri dan dua pembangkang.

"Terdapat lapan orang saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam sesi pendengaran awam itu antaranya Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Mustain dan beberapa pihak lain.

"ADUN, Ahli Parlimen, media, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) turut dijemput hadir mengikuti sesi pendengaran awam tersebut

Artikel Berkaitan:

"Pihak yang ingin mengikuti sesi ini perlu mendaftarkan diri dengan Pejabat Dewan Undangan Negeri terlebih dahulu sebelum tarikh berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Suee Lim berkata,tidak relevan untuk memanggil bekas Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai saksi.

"Tak begitu relevan dalam konteks pendengaran kali ini jadi kita putuskan untuk tidak panggil beliau kerana pihak PNSB sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang sepatutnya bertanggungjawab," katanya.