'Segulai Sejalai' jadi cogan kata perpaduan seluruh negara - PM

Anwar (dua dari kanan) mencuba alat muzik tradisional Sarawak iaitu ‘sape’ majlis Perayaan Gawai Dayak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam ini. - Foto Bernama
Anwar (dua dari kanan) mencuba alat muzik tradisional Sarawak iaitu ‘sape’ majlis Perayaan Gawai Dayak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Segulai Sejalai, frasa bahasa Iban di Sarawak yang bermaksud seiring sejalan akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau tertarik dengan frasa berkenaan yang menjadi motto dalam majlis sambutan Gawai Dayak peringkat kebangsaan yang dihadirinya di sini malam ini.

"Maknanya mana-mana saya pergi, bila berbicara soal kesatuan, perpaduan dan bekerjasama, perkuatkan, maka saya akan sebut Segulai Sejalai," katanya ketika berucap di majlis itu.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib menjadi kenamaan utama dalam majlis itu yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta beberapa menteri persekutuan dan negeri.

Anwar berkata, sudah tiba masanya rakyat khususnya di Semenanjung Malaysia untuk belajar dari Sarawak bagaimana perpaduan di antara pelbagai kaum dapat digunakan untuk membina negara.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sering menitahkan tentang perlunya semangat perpaduan dipupuk, dan tidak menimbulkan isu-isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

"Ini kenyataan sekarang. Sarawak dalam beberapa bidang adalah lebih hebat berbanding dengan negeri-negeri lain," katanya.

Pada majlis sama Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada kerajaan Sarawak untuk inisiatif pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri itu.

Beliau juga berkata, peruntukan untuk membaik pulih rumah-rumah ibadat yang dilaksanakan di semenanjung, juga akan diberikan kepada Sarawak.

Terdahulu, Douglas Uggah dalam ucapannya memohon agar Kerajaan Persekutuan menaikkan peruntukan bagi kerja-kerja pengukuran tanah NCR.

Katanya, keluasan tanah NCR di Sarawak dianggarkan sekitar 1.5 juta hektar dan daripada keluasan itu hanya 1.1 juta hektar telah diukur.

"Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri menyumbang bagi membiayai kos untuk serja-kerja survei berkenaan. Geran berjumlah RM150 juta telah diberikan dalam tempoh dari 2010 hingga 2017 bagi tujuan itu.

"Bagaimanapun selepas tahun 2018, kita amat kecewa apabila jumlah yang diperuntukkan telah dikurangkan dengan drastik. Malah tahun ini hanya RM2 juta diberikan," katanya. - Bernama