[VIDEO] SPRM diminta siasat Tanah Rizab Melayu Perak - Razman

Razman (tengah) membuat laporan SPRM berhubung isu pengurusan Tanah Rizab Melayu negeri Perak di Meru Raya pada Rabu.
Razman (tengah) membuat laporan SPRM berhubung isu pengurusan Tanah Rizab Melayu negeri Perak di Meru Raya pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjalankan siasatan terperinci berhubung isu pemecahan lot Tanah Rizab Melayu melibatkan kawasan seluas 647.5 hektar di Sitiawan.

Difahamkan keseluruhan tanah berkenaan dipecahkan kepada 317 lot dan telah dijual kepada bukan Melayu dengan harga RM412,800 setiap lot.

Ketua Pembangkang Dewan Undang Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria berkata, laporan dibuat berikutan terdapat pelanggaran dalam proses pindah milik tanah pegangan Melayu kepada bukan Melayu serta pengurusan tanah di negeri ini.

"Rentetan daripada sidang DUN terdapat satu kekeliruan timbul apabila menteri besar akan bawa isu ini kepada perdana menteri. Memang tiada locus standi bahawa perdana menteri boleh campur tangan berikutan isu ini di bawah kerajaan negeri.

"Malah penubuhan jawatankuasa khas pula, kita dapati bahawa perkara ini tidak boleh dibuat secara siasatan pentadbiran, orang sama buat siasatan isu sama. Kita minta perkara ini dibuat oleh agensi bebas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Perak di Meru Raya pada Rabu.

Menurut Razman yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Perak, proses pertukaran Tanah Rizab Melayu berkenaan bukanlah mudah dilaksanakan.

"Syarikat A ditukar kepada syarikat B (bukan Melayu) kita tak tahu itu tidak apa tetapi syarikat B pecahkan tanah kepada beberapa lot mustahil tidak tahu. SPRM perlu siasat bagaimana boleh dipecahkan kerana di bawah Enakmen Tanah Rizab Melayu, ia tidak boleh tukar tanah berkenaan kepada bukan Melayu.

"Untuk tukar tanah ini, ia mesti dilakukan di depan pendaftar tanah, bersama individu yang melepaskan dan individu yang menerima," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sinar Harian melaporkan kerajaan Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas dan mengambil langkah migitasi dalam usaha menyelamatkan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara usaha yang dilakukan termasuklah melakukan proses pemutihan dengan menyemak dan menilai semula kriteria syarikat yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga Enakmen Tanah Rizab Melayu bagi sebarang permohonan pemilikan tanah.

Pejabat Tanah dan Galian Perak juga telah melakukan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar melibatkan kawasan seluas 3,214 hektar di Sitiawan bagi menghalang sebarang transaksi atau pindah milik kepada bukan Melayu.