Kalimah ALLAH: Tiada keperluan pinda perlembagaan

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Enakmen negeri-negeri di Semenanjung Malaysia berhubung sebarang pengunaan kalimah ALLAH oleh masyarakat bukan Islam perlu diperjelas dan diperketatkan sebagai langkah menokhtahkan polemik isu berkenaan di negara ini.

Penganalisis undang-undang yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, tiada keperluan untuk meminda perlembagaan kerana jelas ia bukan melibatkan sebarang pertindihan, sebaliknya hanya memerlukan peruntukan yang lebih jelas di peringkat bidang kuasa negeri.

Menurutnya, ia sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Selangor kerana hal ehwal agama Islam berada di bawah bidang kuasa negeri.

“Ramai yang tidak faham. Tak wujud percanggahan langsung di peringkat Persekutuan. Hal ehwal agama Islam adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu, termasuk di setiap negeri.

“Negeri-negeri lain boleh ikut seperti Selangor (melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian).

“Tindakan paling mudah ketika ini ialah balik semula ke negeri-negeri. Jika tiada peruntukan, buat undang-undang baharu (bawah enakmen negeri). Jika sudah ada, perjelaskan lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.