Hikmah masuk penjara, gadis khatam al-Quran lebih 10 kali

Abby ketika ditemui wartawan Sinar Harian selepas menghadiri Program Jati Diri Rumah Terbuka Kaamatan dan Gawai di PWKK di Kapayan.
Abby ketika ditemui wartawan Sinar Harian selepas menghadiri Program Jati Diri Rumah Terbuka Kaamatan dan Gawai di PWKK di Kapayan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Walaupun hukuman belum dijatuhkan kerana perbicaraan masih berjalan, pengalaman empat tahun berada di dalam Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK) banyak memberi hikmah kepada seorang gadis berasal dari sebuah daerah di negeri ini.

Abby (bukan nama sebenar), 21, yang didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup kerana kesalahan mengedar dadah jenis syabu cuba menjalani kehidupan dengan sebaiknya ketika di dalam penjara ketika ini.

Katanya, ada hikmah dia dimasukkan ke dalam penjara kerana sebelum ini bukan saja tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah disebabkan masalah dokumentasi, tetapi juga tidak berpeluang mempelajari ilmu agama dengan sebaiknya.

"Tetapi di sini, saya memperoleh pelbagai ilmu dan bersekolah seperti berada di luar dengan mempelajari mata pelajaran mengikut sukatan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Malah apa yang lebih bermakna, dulu saya tak pernah belajar ilmu agama atau mengenal huruf al-Quran, tetapi di sini saya bukan saja dapat khatam al-Quran lebih daripada 10 kali tetapi juga boleh mengimamkan solat bersama penghuni lain," katanya.

Abby berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jati Diri Rumah Terbuka Kaamatan dan Gawai yang turut dihadiri oleh Pengarah Penjara Sabah dan Labuan, Nora Musa di PWKK di Kapayan, pada Selasa.

Katanya lagi, dia banyak memanfaatkan masa dengan perkara yang berfaedah di dalam penjara, malah baru-baru ini juga dia telah memenangi pertandingan Tazkirah Lima Minit anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Diminta berkongsi kesalahan jenayah yang dilakukannya, anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, dia dimasukkan ke penjara pada Julai 2019 kerana mengedar dua kilogram syabu di sekitar Kota Kinabalu.

"Saya diminta melakukan kerja itu oleh ibu saudara saya sendiri dan ketika kejadian saya ditahan bersama seorang lagi lelaki yang juga pekerja ibu saudara saya.

"Ketika itu saya berusia 17 tahun dan saya tahu perbuatan itu salah tetapi disebabkan saya bergantung kepada ibu saudara memandangkan ibu kandung telah meninggal dunia, saya tiada pilihan lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah PWKK, Kesumawati Ilias berkata, program yang diadakan itu bertujuan untuk meraikan kira-kira 260 penghuni dan kakitangan di penjara berkenaan terutama dari Sabah dan Sarawak sendiri.

"Sambutan secara gabungan ini kali pertama diadakan memandangkan kakitangan kita ramai juga yang berasal dari Sarawak selain terdapat juga penghuni penjara berasal dari negeri yang sama, jadi kita mahu mereka merasai suasana sambutan itu bersama," katanya.