Penyakit HFMD meningkat di Johor

JKNJ menasihatkan semua pengusaha pusat jagaan kanak-kanak mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan HFMD. - Foto fail Bernama
JKNJ menasihatkan semua pengusaha pusat jagaan kanak-kanak mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan HFMD. - Foto fail Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU – Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi bagi penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Johor apabila mencatatkan sejumlah 607 kes pada minggu epidemiologi ke-22.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah kes tersebut meningkat 1.3 kali ganda berbanding minggu epidemiologi yang lalu.

“Secara keseluruhannya, kumulatif kes HFMD di negeri ini menunjukkan sebanyak 1,656 kes dengan Johor Bahru merekodkan 607 kes diikuti Tangkak (204), Kota Tinggi (167), Batu Pahat (144), Kluang (136), Segamat (121), Pontian (104), Kulai (101), Muar (67) dan lima kes di Mersing.

“Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0-6 tahun iaitu sebanyak 1,293 kes, diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun (202 kes) dan selebihnya berumur lebih daripada 13 tahun.

“Sehingga tempoh itu sebanyak lima wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri Johor. Lokasi penularan wabak HFMD di Johor sehingga kelmarin membabitkan tadika (26 wabak), diikuti oleh taska (enam), pusat jagaan harian (lima), prasekolah (tiga), rumah persendirian (dua) dan satu wabak bagi sekolah rendah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Tian Soon berkata, penularan penyakit HFMD adalah disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie, Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

Katanya lagi, virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

“Gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah, namun difahamkan hampir keseluruhan pesakit HFMD berjaya pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

“Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis pulmonary edema dan myocarditis.

“Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menegaskan agar semua pengusaha institusi mengambil langkah berjaga-jaga mengurangkan risiko jangkitan memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan kanak-kanak,” katanya.