Kesedar sasar ternak 1,300 lembu pedaging setahun menjelang 2025

Kesedar menjangkakan pengeluaran sehingga 1,300 ekor iaitu 300 metrik tan karkas daging halal dengan perolehan kasar RM10.7 juta setahun dapat dicapai. -Gambar hiasan
Kesedar menjangkakan pengeluaran sehingga 1,300 ekor iaitu 300 metrik tan karkas daging halal dengan perolehan kasar RM10.7 juta setahun dapat dicapai. -Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Dalam memastikan keterjaminan makanan dapat ditangani, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menjangkakan pengeluaran sehingga 1,300 ekor lembu pedaging mampu diternak menjelang 2025, kata Pengurus Besar Kesedar, Dr Shahrir Mohammad Zakey.

Beliau berkata, peruntukan kos siling berjumlah RM27 juta bagi pelaksanaan penternakan lembu pedaging dengan keluasan 18 hektar sudah diusahakan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Sungai Asap secara fidlot sebanyak 400 ekor setahun manakala di RKT Chalil, kawasan seluas 116 hektar diusahakan secara integrasi sebanyak 120 ekor setahun

"Melalui projek ini, pengeluaran sebanyak 100 metrik tan setahun karkas daging halal dengan nilai perolehan kasar RM4.3 juta setahun berjaya dihasilkan.

"Oleh itu, pada 2025, Kesedar menjangkakan pengeluaran sehingga 1,300 ekor iaitu 300 metrik tan karkas daging halal dengan perolehan kasar RM10.7 juta setahun dapat dicapai," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menyokong dasar dan inspirasi kerajaan dengan kajian pembangunan pertanian sedang diusahakan dan dijangka disiapkan pada pertengahan tahun ini.

"Kita juga mengadakan perbincangan potensi kolaborasi strategik bersama pemain industri seperti Nestle Malaysia bagi membangunkan tanaman kopi Robusta di kawasan seluas 60 hektar di bawah Program 'NESCAFÉ Grown Respectfully'.

"Selain itu, pertanian hasil baharu pula akan diusahakan di RKT Paloh 4, Gua Musang dengan keluasan 1,000 hektar bagi tanaman seperti kelapa, durian musang king, nanas MD2, tanaman napier dan sawit, selain ternakan lembu tenusu serta ikan sangkar," katanya.

Beliau berkata, menerusi program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) pula, sebanyak RM350,000 diperuntukkan untuk menyediakan peralatan dan input pertanian kepada pengusaha dan pekebun sayur bagi jangka pendek di kawasan operasi Kesedar dengan sasaran usaha ini dapat memberi manfaat kepada 35 Ketua Isi Rumah yang berpendapatan rendah dan B40.

"Pelbagai cara dilaksanakan Kesedar dalam usaha untuk pembangunan keusahawanan seperti bantuan peralatan dan mesin mengikut kluster yang terpilih, kursus dan latihan sebagaimana yang dipohon oleh peserta, melaksanakan karnival jualan dan sebagainya," katanya. - Bernama