HSP 3.0 tawar ujian kesihatan lebih komprehensif

HSP 3.0 menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pencarum Perkeso.
HSP 3.0 menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pencarum Perkeso.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Saringan Kesihatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 3.0 (HSP 3.0) menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pencarumnya dengan skop ujian kesihatan yang lebih komprehensif.

HSP 3.0 yang mula ditawarkan sejak 16 Mei lepas dan akan berakhir pada 31 Disember depan menyasarkan lebih 2.2 juta pekerja berinsurans Perkeso berumur 40 hingga 59 tahun termasuk mereka yang pernah menjalani HSP sebelum ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, pemeriksaan saringan kesihatan dapat membantu individu mengesan penyakit lebih awal dan mengambil langkah untuk mengawal penyakit berkenaan bagi mengelak komplikasi lebih serius sekali gus melibatkan kos rawatan yang sangat tinggi.

"Berdasarkan analisis HSP bagi tahun 2022 mendapati 42 peratus pekerja mengalami masalah obesiti, 14.1 peratus menghidap kencing manis, 27.9 peratus menghidap darah tinggi dan 61.2 peratus mempunyai masalah kolesterol tinggi. Seperti peribahasa Melayu, cegah sebelum parah,” katanya yang merasmikan program tersebut di sini pada Khamis.

Program itu yang merupakan siri ketiga HSP dilaksanakan menerusi agensinya Perkeso dengan kerjasama UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) dan diadakan serentak dengan saringan kesihatan yang disertai para pekerja UEM Edgenta.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, penyakit tidak berjangkit (NCD) perlu diberi perhatian khusus kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada mata pencarian pekerja kerana NCD yang serius boleh menjejaskan keupayaan individu untuk menjalankan pekerjaan atau menyebabkan kematian awal.

Mohammed Azman
Mohammed Azman

"Pekerja merupakan aset utama bagi mana-mana organisasi dalam memacu operasi dan perniagaan. Justeru, tahap kesihatan pekerja amat berkait rapat dengan produktiviti dan laba syarikat,” katanya.

Pengarah Urusan Edgenta Mediserve Sdn Bhd, Shaiful Subhan berkata, inisiatif ini adalah komponen penting dalam rantaian penjagaan syarikat, untuk memastikan pekerja syarikat itu kekal sihat dan produktif.

"Kami bersyukur kerana dapat membantu dan menyediakan akses kepada pemeriksaan kesihatan yang penting melalui program HSP 3.0 yang dapat dilakukan kepada seluruh warga kerja UEM Edgenta yang layak.

"Saya juga berasa amat gembira kerana pada tahun ini, pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama Perkeso berlangsung di beberapa tapak projek kami di mana seramai 470 pekerja telah mengambil bahagian dalam pemeriksaan kesihatan ini dan kami menjangkakan kesinambungan program ini akan diteruskan untuk 2,700 orang pekerja yang layak mengambil bahagian dalam program saringan kesihatan Perkeso,” katanya.

Katanya, UEM Edgenta juga komited untuk melaksanakan saringan kesihatan yang merangkumi semua pekerja UEM Edgenta di seluruh negara sepanjang tempoh tawaran HSP 3.0.

Program HSP 3.0 atau Program Saringan Kesihatan Pasca Covid-19 ini merupakan satu daripada inisiatif perlindungan keselamatan sosial yang diamanahkan kerajaan kepada kementerian menerusi Perkeso di bawah Belanjawan 2023.

HSP diperkenalkan Perkeso sejak tahun 2013 dan parameter saringan kesihatan bagi HSP 3.0 telah ditambah baik dengan ujian pemeriksaan yang lebih meluas bagi mengesan lebih banyak faktor risiko penyakit NCD dan kerajaan telah memperuntukkan geran padanan berjumlah sehingga RM70 juta di bawah Belanjawan 2023 untuk pelaksanaan saringan kesihatan ini.

Berdasarkan statistik Perkeso, seramai 23,174 pencarum dalam tahun 2022 dilaporkan mengalami hilang upaya atau meninggal dunia disebabkan NCD. Secara purata, 63 kes berkaitan NCD dilaporkan kepada Perkeso setiap hari.

Oleh itu, saringan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat adalah kunci kepada pekerja yang sihat, cergas dan produktif. - Bernama