Bung Moktar, isteri ditahan SPRM

Bung Mokhtar dan Zizie - Foto sumber internet
Bung Mokhtar dan Zizie - Foto sumber internet
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dalam Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Difahamkan, siasatan kes rasuah agensi kerajaan tersebut melibatkan nilai hampir RM3 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam baki ketika dihubungi berkata, Bung Moktar ditahan bersama isteri, Datin Seri Zizie Ezette A Samad.

Zizie ialah seorang pelakon drama terkenal Hero Seorang Cinderella.

"SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Bung Moktar dan isterinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei 2019. Bung Moktar dan Zizie bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

"SPRM telah menahan Bung Moktar pada pukul 10.50 pagi di SPRM Sabah manakala Zizie ditahan di SPRM Putrajaya pada pukul 11.15 pagi selepas mereka hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah melibatkan Felcra. Kedua-dua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM," katanya kepada Sinar Harian.

Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Felcra melepaskan jawatan tersebut pada Mei 2018.

Felcra ditubuhkan di bawah Akta Memperbadankan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah pada 1 April 1966.

Artikel Berkaitan:

Bermula 1 September 1997, Felcra dikorporatkan keseluruhannya dan berubah statusnya daripada sebuah Badan Berkanun kepada sebuah entiti Syarikat milik penuh kerajaan.

Bung Moktar berkahwin dengan Zizie Ezette pada 2009 dan memiliki sepasang anak kembar yang berusia 2 tahun, seorang anak perempuan lahir pada Mac 2019 dan dua anak angkat.