Kilang sawit didenda RM45,000 lepaskan efluen lebih had

Syarikat kilang kelapa sawit didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana melepaskan sisa buangan cecair atau efluen melebihi had yang ditetapkan. - Gambar hiasan
Syarikat kilang kelapa sawit didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana melepaskan sisa buangan cecair atau efluen melebihi had yang ditetapkan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Syarikat kilang kelapa sawit didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana melepaskan sisa buangan cecair atau efluen melebihi had yang ditetapkan.

Hukuman itu diputuskan Hakim Nazlyza Mohammad Nazri selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa melepaskan efluen dengan kandungan melebihi had yang ditentukan di bawah Syarat Jadual Pematuhan Lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Seksyen 16 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada 6 April 2021 dan 23 Ogos 2021.

Kilang kelapa sawit yang beroperasi di daerah Hulu Terengganu itu didakwa telah melepaskan efluen melebihi had-had bagi parameter Oksigen Biokimia yang diperlukan (BOD), 3 hari, 30oC, melebihi had yang ditetapkan iaitu 100 mg/l.

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu.

Sementara itu, Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd Rahman meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di negeri itu.

Katanya, laporan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my atau melalui portal e-aduan JAS.