E-sport bersifat mandiri, tak banyak bergantung pada kerajaan

Adam Adli ketika Dialog Siswa di Unisel Bestari Jaya pada Rabu. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Adam Adli ketika Dialog Siswa di Unisel Bestari Jaya pada Rabu. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan sukan elektronik (e-sport) perlu diberi perhatian sewajarnya lebih-lebih lagi ia tidak terlalu bergantung kepada dana kerajaan kerana bersifat mandiri, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Menurutnya, komuniti e-sport dibina sendiri walaupun kerajaan turut menyumbangkan dana terutama sejak 2018, secara tidak langsung ia dilihat amat membantu dalam pembangunan sukan tersebut.

"Sukan e-sport mahal dan kelemahannya adalah kalau tak ada duit, susah nak gerakkan tapi kita juga perlukan sukan berkenaan, tak bergantung pada kerajaan.

"Kalau bergantung pada kerajaan sebagai contoh kalau kerajaan lemah maka sukan itu lemah manakala jika kerajaan tersebut kuat maka sukan itu jadi kuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Senat Unisel, Kampus Bestari Jaya pada Rabu.

Adam Adli menjadi tetamu kedua selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam program yang dihoskan Syuhaida Ariffin.

Mengulas lanjut, Adam berpandangan, sukan dilihat sebagai piramid di mana kerajaan sebenarnya mempunyai tanggungjawab terhadap pembangunan.

"Peringkat bawah akar umbi itu merupakan tanggungjawab besar kerajaan galak lebih banyak anjurkan program selain memudahcarakan atlet yang kecil ini untuk tumbuh naik.

"Seiring dengan peredaran masa, mereka (atlet kecil) semakin meningkat naik dan apabila menjadi atlet berprestasi tinggi maka mereka akan mendapat tajaan lebih tinggi dan banyak.

"Sukan perlukan penajaan besar oleh syarikat korporat. Jadi, ia perlu mandiri selain turut libatkan sektor luar," jelasnya.