NTIS berjaya raih jualan RM51.8 juta

Lih Kang
Lih Kang
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendedahkan sepanjang dua tahun Kemajuan Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS) dilancarkan, sebanyak 24 inovasi berjaya dikomersialkan dan menjana hasil jualan kira-kira RM51.8 juta.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, NTIS ditubuhkan selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Nasional (DSTIN) 2021-2030.

“Ia juga seiring dengan usaha MOSTI untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Pendapatan Negara Kasar (PNK) serta menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Bukan itu sahaja, ia juga bertujuan untuk meningkatkan penyertaan, pelaburan dan kerjasama dalam penyelidikan oleh sektor swasta serta meninggikan kadar pengkomersialan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Program NTIS juga telah memudahkan kawal selia 43 kes dengan 18 agensi kerajaan yang mana ia turut disokong oleh 50 rakan kongsi dalam Rangkaian Pecutan Inovasi yang menawarkan teknologi, tapak ujian dan mekanisme pembiayaan.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 10 tapak sandbox telah dimajukan dengan peruntukan bagi penyelesaian seperti perubatan, penjagaan kesihatan, pertanian, perhutanan, bandar dan lain-lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Dzuleira Abu Bakar memaklumkan, Jawatankuasa NTIS telah bekerja keras untuk penambahbaikan strategi dalam peralihan produk berasaskan teknologi secara berkesan ke arah pengkomersialan.

“Melalui NTIS, syarikat teknologi dan inovasi boleh memajukan prototaip dan membuktikan konsep mereka berada dalam persekitaran terkawal dan selamat.

“Dengan ujian tekanan dan sokongan dari segi pengawalseliaan, jangka masa untuk pemasaran sesuatu produk boleh disingkatkan,” ujarnya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, NTIS menyasarkan dua lagi tapak sandbox dengan menyelaras 70 syarikat permulaan untuk membantu 20 produk dikomersialkan sejajar dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12, yang mana dijangka sebanyak 100 produk didagangkan menjelang 2025.

Tambah kenyataan itu, peluang pekerjaan dijangka akan terus meningkat dalam tempoh dua tahun dan kini sebanyak 244 khidmat telah dicipta, di samping 24 penyelesaian telah dihasilkan untuk menangani cabaran masyarakat yang dihadapi negara.