Bekalan gula mencukupi menjelang Aidiladha

Fuziah (dua dari kanan) bersama Saharuddin (kanan) ketika melakukan lawatan kerja di sebuah syarikat pemborong, pada Selasa.
Fuziah (dua dari kanan) bersama Saharuddin (kanan) ketika melakukan lawatan kerja di sebuah syarikat pemborong, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekalan gula dijamin mencukupi untuk keperluan umat Islam menyambut perayaan Aidiladha yang dijangka diraikan pada hujung Jun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, ia susulan arahan terhadap dua syarikat pengeluar gula terbesar di negara ini bagi memastikan jumlah bekalan gula dikeluarkan seperti biasa.

"Kedua-dua kilang gula iaitu Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan Malaysia Holdings Bhd (MSM) diarahkan untuk keluarkan bekalan gula pasir kasar dan halus seperti biasa untuk diagihkan kepada pemborong dengan jumlah pengeluaran 24,000 dan 18,000 tan metrik.

"Kita juga telah keluarkan arahan kawalan pengeluaran bagi membolehkan kita memeriksa kuantiti serta berapa banyak yang dihantar kepada pemborong," katanya selepas melakukan lawatan kerja di sebuah syarikat pemborong, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Fuziah berkata, pemantauan terhadap bekalan gula dilakukan di seluruh negara dan tidak tertumpu di negeri tertentu.

Katanya, tempoh penguatkuasaan operasi bersepadu Ops Manis bagi memulihkan bekalan gula akan dilanjutkan termasuk memantau status bekalan gula di Terengganu yang didakwa mengalami kekurangan kritikal sejak akhir Ramadan.

"Ops Manis sepatutnya tamat pada 29 Mei, namun kita akan lanjutkan kepada 30 Jun bagi memastikan gula mencukupi menjelang tempoh perayaan (Aidiladha).

"Sebelum ini operasi ini dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu, kini telah diperluaskan ke seluruh negara ekoran terdapat juga aduan kes di yang berlaku di beberapa negeri lain.

"Lanjutan tempoh Ops Manis ini juga bagi memastikan kehadiran gula putih bertapis jernih tak akan meninggalkan kesan kepada pengeluaran gula sedia ada,"ujar beliau.

Dalam pada tu, Fuziah menyeru mereka yang berdepan masalah bekalan untuk turut sama membantu dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil.

Di samping itu, katanya, pengguna juga diminta untuk tidak membuat pembelian panik yang dikhuatiri berisiko menjejaskan rantaian bekalan gula di pasaran.