[VIDEO] Guna kepala lori kumpul diesel subsidi sebelum diseleweng

Muhamad Radzi menunjukkan dua tangki simpanan diesel dan set pam yang ditemui dalam gudang yang diserbu di kawasan perindustrian IM14 di sini.
Muhamad Radzi menunjukkan dua tangki simpanan diesel dan set pam yang ditemui dalam gudang yang diserbu di kawasan perindustrian IM14 di sini.
A
A
A

KUANTAN - Satu sindiket seleweng diesel bersubsidi dikesan menggunakan kepala lori penggerak utama (prime mover) untuk mengumpul bahan api itu dari stesen minyak sekitar daerah ini bagi mengelabui mata pihak berkuasa.

Setiap lori dipercayai mampu mengisi kira-kira 250 liter diesel menggunakan tangki sedia ada tanpa ubah suai sebelum dipindahkan ke tangki simpanan dalam sebuah gudang di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14 (IM14) di sini.

Minyak diesel yang dikumpul dipercayai untuk dijual ke kawasan luar Pahang dengan harga lebih tinggi.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, kegiatan itu terbongkar hasil serbuan Ops Tiris ke atas gudang penyimpanan haram yang berselindung di sebalik papan tanda pembekal cat di lokasi tersebut pada Isnin.

Menurutnya, hasil serbuan kira-kira jam 11 pagi itu, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki termasuk dua pemandu lori dan penjaga gudang warga asing masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tiga kepala lori prime mover berada di dalam gudang dan salah satunya sedang memindahkan minyak.

Tiga lori prime mover yang disyaki digunakan sindiket untuk mengumpulkan diesel bersubsidi dari stesen minyak sekitar daerah ini bagi tujuan diselewengkan.
Tiga lori prime mover yang disyaki digunakan sindiket untuk mengumpulkan diesel bersubsidi dari stesen minyak sekitar daerah ini bagi tujuan diselewengkan.

"Turut ditemui dua tangki simpanan berisi kira-kira 16,000 liter diesel, satu treler tangki minyak dan tiga set pam," katanya pada sidang akhbar berhubung ke itu di lokasi serbuan di sini pada Selasa.

Muhamad Radzi berkata, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan mencecah RM454,400.

"Kes dibuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1 juta bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu jika disabitkan kesalahan.

"Bagi syarikat pula, denda tidak lebih RM2 juta bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM5 juta untuk kesalahan berikutnya," jelasnya.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam sebelum risikan dilakukan pihaknya selama seminggu sebelum serbuan ke atas gudang itu dilakukan.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pemilik gudang, tempoh sindiket itu beroperasi dan rangkaian pengedarannya sama ada untuk di dalam atau di luar Pahang," katanya.

Sementara itu beliau berkata, sepanjang Ops Tiris yang dijalankan bermula Mac lalu, KPDN Pahang KPDN Pahang telah memeriksa 571 premis dan enam kes telah dihasilkan dengan nilai sitaan keseluruhan nilai sitaan, RM792,944.90 manakala nilai sitaan bagi minyak diesel RM301,994.91.