Projek rumah sakit, lewat siap, terbengkalai dijangka meningkat

Akmal Nasrullah (kiri) melakukan lawatan kerja ke tapak projek Perumahan Residensi Hektar, Gombak pada Isnin. - Foto Bernama
Akmal Nasrullah (kiri) melakukan lawatan kerja ke tapak projek Perumahan Residensi Hektar, Gombak pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah projek perumahan swasta berstatus lewat, sakit dan terbengkalai dijangka meningkat susulan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 yang masih menjejaskan syarikat pemaju.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai mencatatkan sebanyak 110 projek lewat, 435 projek sakit dan 112 projek terbengkalai sehingga 31 Mac lepas.

"Di bawah Task Force,kita menilai jumlah projek secara bulanan kerana status pertukaran projek berlaku secara dinamik yang mana ada bulan projek berstatus 'sihat' bulan depan dia 'jatuh sakit' atau berlaku kelewatan.

"Pada masa sama, (menerusi) gambaran yang kami terima dalam mesyuarat yang baru selesai, mungkin ada berlaku peningkatan lagi, tapi saya belum umumkan statistik itu," katanya kepada pemberita ketika melawat dua projek pembangunan swasta berstatus sakit di sini pada Isnin.

Beliau berkata, tumpuan utama Task Force adalah mengurangkan jumlah projek sakit antara lain dengan turun padang dan membantu mencari penyelesaian bagi memastikan pemaju menunaikan tanggungjawab bagi menyempurnakan projek.

"Ada beberapa aspek yang kita nilai antaranya kemampuan pemaju untuk menyiapkan projek, memahami sekiranya ada masalah dihadapi yang mana pihak Task Force akan bantu cuba mempermudah proses tersebut," katanya.

Katanya, pihak tersebut juga melaksanakan statistik unjuran iaitu jangkaan projek yang akan bermasalah pada masa depan sebagai langkah pencegahan projek bermasalah dan mengambil kira pelbagai cadangan untuk penambahbaikan termasuk meminda Akta 118 (Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966) serta pelaksanaan yang diguna pakai bagi kelulusan projek.

Terdahulu, Akmal Nasrullah mengadakan lawatan bagi meninjau status terkini Residensi Hektar Gombak dan Kondominium Mulberi yang berstatus sakit disebabkan kelewatan pihak pemaju rentetan daripada kekangan kewangan kesan kenaikan kos bahan binaan susulan PKP.

Beliau berkata, bagi Projek Residensi Gombak, sambungan paip pembetungan tidak dapat dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan akibat kekangan teknikal menyebabkan pihak pemaju perlu menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan dan pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara bagi merungkaikan masalah tersebut.

Katanya, bagi Kondominium Mulberi yang sepatutnya siap pada 2016 pula, pihak pemaju telah memberi komitmen untuk menyiapkan projek tersebut dan sebahagian besar pembangunan fizikal telah selesai.

"Hanya tinggal beberapa perkara melibatkan beberapa agensi dan kita yakin CCC (Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan) akan diberi dalam tempoh tahun ini juga," katanya. - Bernama