Kerajaan beri keutamaan kepada pekerja tempatan: Tun M

Mahathir menyampaikan ucaptama semasa hadir pada Persidangan Belia Al Sharq ke-5 2019 hari ini. - Foto Bernama
Mahathir menyampaikan ucaptama semasa hadir pada Persidangan Belia Al Sharq ke-5 2019 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan memberi keutamaan kepada pekerja warganegara Malaysia untuk mendapat peluang pekerjaan di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedar akan kebimbangan rakyat berhubung kebanjiran pekerja asing dalam negara.

Justeru, Dr Mahathir menegaskan kerajaan telah mengambil tindakan untuk memastikan pekerja asing hanya digajikan apabila mereka benar-benar diperlukan dalam sektor yang kurang sambutan pekerja tempatan.

“Ingin saya tekankan bahawa dasar Kerajaan amat jelas bahawa keutamaan pekerjaan di Malaysia adalah kepada warganegara.

“Tetapi perlu juga saya nyatakan bahawa kehadiran pekerja asing ke dalam negara kita berpunca dari sikap kita yang tidak mahu membuat kerja tertentu walaupun kita sebenarnya mampu melakukannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa menghadiri majlis Sambutan Hari Pekerja 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Tambah Dr Mahathir, keengganan rakyat Malaysia membuat kerja tertentu menyebabkan peluang itu direbut pekerja asing.

“Akhirnya, mereka akan menjadi kaya dan kita pula kekal atau menjadi miskin,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan kebajikan warga pekerja yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara amat penting bagi kerajaan.

“Antara langkah yang diambil ke arah ini termasuklah penyelarasan kadar upah dan gaji yang setimpal, perlindungan keselamatan sosial serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan pekerja mengetahui hak mereka, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sedang dalam proses meminda beberapa lagi undang-undang Perburuhan.

“Antaranya Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kerja 1955,” ujar beliau.