Teroka tanaman padi dalam air masin

Mohamad melihat buah mangga harumanis di sebuah ladang di Pusat Pengumpulan Ladang, Kampung Pida 3, di Kodiang pada Ahad.
Mohamad melihat buah mangga harumanis di sebuah ladang di Pusat Pengumpulan Ladang, Kampung Pida 3, di Kodiang pada Ahad.
A
A
A

JITRA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berhasrat untuk meneroka penanaman padi dalam air masin dan kaedah tersebut boleh dimanfaatkan bagi tujuan penanaman di kawasan tepi laut di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara berkenaan masih lagi di peringkat perbincangan awal dengan pakar berkaitan dari China.

Menurutnya, kajian penanaman padi dalam air masin telah dilakukan sejak empat tahun lalu di negara tersebut dan pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada pakar berkenaan serta membawa kaedah tersebut untuk diaplikasikan di Malaysia.

"Saya sudah bertemu dengan profesor di China iaitu tanam padi dalam air masin, ini di peringkat awal. Sekarang ini sedang di peringkat perbincangan supaya kawasan di tepi laut tidak dibiarkan begitu sahaja.

"Pandangan pakar dari luar negara bagaimana mereka berjaya bukan sehari, mereka buat kajian empat tahun," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus bersama Usahawan Harumanis Kodiang di Pusat Pengumpulan Ladang, Kampung Pida 3, di Kodiang, dekat sini.

Tambah Mohamad, kajian yang dihasilkan oleh pakar di China selama beberapa tahun itu berjaya menghasilkan benih padi yang sesuai bagi tanaman padi air masin.

Sementara itu, mengulas punca hasil padi di Kedah yang lebih rendah berbanding di Sekincan, Selangor pula, Mohamad berkata, perkara berkenaan berpunca daripada pengairan, pembajaan dan penjagaan.

Menurutnya, pesawah di Sekinchan juga turut menjadikan pekerjaan petani sebagai kerja hakiki dan mereka memberikan tumpuan penuh kepada tanaman masing-masing.

"Sistem pengairannya, pembajaannya kalau buat bendang tak boleh buat sambilan, mereka menjadikan buat bendang sebagai kerja tetap sebab itu di Kedah ini kita nak ke arah itu.

"Kalau boleh petani cantumkan skala besar supaya kita boleh menjaga sawah dengan lebih baik. Tak boleh salahkan petani juga sebab sistem pengairan itu penting, kita tak boleh bertahan setakat lima tan sehektar, di Sekinchan kita dapat 10 tan sehektar. Kalau kita dapat enam tan ke atas, kita cukup beras di Malaysia," ujarnya.