Kerajaan pertimbang hadkan pemberian lesen baharu kontraktor

Abdul Rahman (dua dari kanan) beramah mesra bersama kontraktor selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia di Kuala Terengganu pada Ahad.
Abdul Rahman (dua dari kanan) beramah mesra bersama kontraktor selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia di Kuala Terengganu pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya akan mempertimbangkan permintaan bagi mengehadkan pemberian lesen baharu kontraktor supaya tidak berlaku lambakan yang menjejaskan pemain industri pembinaan sedia ada.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia merupakan antara isu yang dibangkitkan oleh Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) bagi memastikan mereka terus berdaya saing dalam sektor berkenaan.

Jelas beliau, isu tersebut perlu diteliti terlebih dahulu kerana pemberian lesen kontraktor baharu di bawah KKR melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"Sekarang kontraktor begitu ramai jadi banyak perkara yang dibangkitkan sama ada di Terengganu atau di peringkat nasional berhubung mengenai kesukaran untuk mereka mendapat peluang pekerjaan.

"Saya akan bawa perkara itu ke peringkat atasan untuk dipertimbangkan kerana lambakan kontraktor menyebabkan ramai di antara mereka tidak mendapat peluang kerja dalam sektor pembinaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia pada Ahad.

Berdasarkan statistik sebelum ini, jumlah keseluruhan kontraktor kelas G1 hingga G7 bertambah lebih sekali ganda dengan rekod sebanyak 136,000 lesen baharu dan sedia ada berbanding 60,000 lesen pada 2019.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan telah meluluskan Jadual Kadar Kerja Kejuruteraan Awam dan Bangunan bagi tahun ini untuk membantu golongan kontraktor yang terkesan akibat kenaikan harga bahan binaan.

Jelasnya, kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan Jadual Kadar Kerja baharu bagi menggantikan Jadual Kadar Harga sedia ada pada Mac lalu dan akan dikuatkuasakan pada Jun ini.

Katanya, ia bertujuan meringankan bebanan kewangan dialami pemain industri itu.

"Kenaikan harga bahan binaan menyebabkan Jadual Kadar Harga sedia ada sudah tidak relevan dengan situasi semasa malah ia juga akan menjejaskan projek-projek kecil yang dilaksanakan.

"Misalnya sebelum ini rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) dibina dengan kos RM60,000 kini dinaikkan kepada RM75,000 bagi mengatasi masalah peningkatan harga bahan binaan di pasaran," katanya.