Kawan...bagi hutang salah, tak bagi pun salah

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KEBANYAKAN daripada kita seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada berhutang dengan kawan kerana sememangnya sikap tersebut akan menjerat kehidupan seharian dan masa depan.

Wang tidak pernah cukup seandainya kita gagal mengawal perbelanjaan atau berbelanja mengikut kemahuan dan kehendak, sedangkan kita sepatutnya membeli mengikut keperluan sahaja.

Di bibir kata wang tak cukup, tapi telefon pintar yang digunakan daripada jenama terkenal yang harganya melebihi had gaji minumum yang ditetapkan kerajaan.

Melihat ini, Merak Jalanan teringat perumpamaan yang sering diucap guru Merak Jalanan kira-kira 20 tahun lalu yang berbunyi, ‘biar papa, asal bergaya’.

Memang pelik, tetapi inilah kehidupan sebenar masyarakat sekarang, berbelanja sehingga tiada langsung tabung simpanan kecemasan.

Apa yang lebih membahayakan daripada kegagalan mengurus kewangan itu adalah menjadikan rakan-rakan sebagai ‘agensi pinjaman wang’.

Pelbagai alasan diberikan dan hilang rasa malu untuk meminjam daripada rakan-rakan. Janji manis untuk membayar pada masa-masa tertentu juga diberi untuk meyakinkan rakan si pemberi hutang.

Tetapi sama seperti janji ahli politik, apabila tiba masa nak bayar hutang seperti dijanjikan, pelbagai alasan akan diberi atau buat-buat lupa dia ada hutang dengan kita.

Itu belum lagi bab panggilan kita tidak berjawab, sedangkan ketika nak pinjam, hari-hari kita dihubunginya. Kalah pasangan yang sedang mabuk bercinta.

Kadangkala kita rasa terlalu bersalah jika tidak memberikan pinjaman kepada rakan dek kerana alasan yang adakalanya terlalu menyentuh hati, misalnya masalah anak tidak sihat atau rumah bakal dilelong pihak bank.

Tolong salah, tidak tolong pun rasa bersalah. Merak Jalanan kadangkala sampai terfikir biarlah bergaduh tak beri pinjam sebab selalunya akan bergaduh apabila nak minta semula wang yang diberi pinjam.