DBKL keluarkan lesen penjaja terhad

Khalid umum lesen penjaja terhad pada sidang media di Menara 1 DBKL, hari ini.
Khalid umum lesen penjaja terhad pada sidang media di Menara 1 DBKL, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak 250 lesen penjaja terhad melibatkan penjaja statik dan penjaja bergerak sejak 15 April lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, lesen tersebut diperkenalkan bagi membolehkan DBKL membuat pemantauan, pemutihan lesen penjaja dan membuka peluang warga kota menjana pendapatan sampingan.

Menurutnya, langkah tersebut juga sebagai mengawal bilangan penjaja dan memudahkan tindakan penguatkuasaan diambil ke atas penjaja yang melanggar peraturan selaras dengan program sifar penjaja tepi jalan menjelang 2020.

"Sebanyak 12,786 penjaja tepi jalan direkodkan hasil bancian dilakukan dan daripada jumlah itu 2,540 penjaja tidak berlesen.

"Lesen penjaja terhad ini sah untuk tempoh enam bulan sahaja dengan waktu operasi dibenarkan jam 7 hingga 10 pagi, 11 pagi hingga 2 petang dan 4 hingga 7 petang," katanya.

Khalid berkata, permohonan boleh dibuat di tingkat lima Jabatan Pelesenan DBKL Menara DBKL 2, Jalan Raja Laut.

"Kadar lesen ditetapkan adalah RM20 sebulan bagi penjaja sementara dan RM62 bagi penjaja bergerak berserta pelekat penjaja RM3 yang perlu dipamerkan.

"Penjaja tidak dibenarkan menjalankan aktiviti memasak, mencuci pinggan di tapak perniagaan dan dilarang meninggalkan barang perniagaan di tapak niaga," katanya.

Artikel Berkaitan: