Budak terima 8 jahitan selepas lawan buaya

Kecederaan yang dialami kanak-kanak berusia sembilan tahun selepas dibaham buaya ketika berenang di kawasan perumahan atas air di Kampung Batu Putih, Sandakan.
Kecederaan yang dialami kanak-kanak berusia sembilan tahun selepas dibaham buaya ketika berenang di kawasan perumahan atas air di Kampung Batu Putih, Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menerima lapan jahitan selepas cuba melawan untuk menyelamatkan diri daripada dibaham buaya di kawasan perumahan atas air Kampung Batu Putih di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu turut diselamatkan oleh bapanya yang berada berhampiran di lokasi.

Pembantu Hidupan Liar Sandakan Mozain Abbas berkata, kejadian berlaku ketika air sedang pasang dari laut dan menyebabkan kawasan perumahan atas air itu dinaiki air.

"Lokasi kejadian berlaku di laluan jalan kampung perumahan atas air di mana mangsa bersama rakannya sedang berenang ke luar dari rumah jiran menuju balik ke rumah mereka.

"Tiba-tiba kanak-kanak itu diserang dan dibaham di bahagian tangan namun mangsa sempat melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum diselamatkan oleh bapanya, Ubing Markum, 39," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Akibat kejadian itu, Mozain berkata, mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa menerima lapan jahitan di lengan kanan dan cedera di bahagian bahu kanan serta kepala.

"Bagaimanapun, mangsa dalam keadaan stabil ketika dilawat di kediamannya dan tiada kecederaan lain yang serius dilaporkan," katanya.

Tambah Mozain lagi, selain bertemu dengan bapa mangsa pasukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan turut membuat pemantaun di lokasi kejadian.

"Namun tiada kelibat buaya dilihat berhampiran kawasan dan ketika tinjauan dilakukan air telah surut sepenuhnya.

"Susulan kejadian itu, penduduk setempat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada apabila menggunakan laluan jalan ketika air pasang dan sentiasa memastikan anak-anak tidak berada atau bermain di kawasan berhampiran sungai berkenaan bagi tujuan keselamatan," katanya.