Geng Ayoi aktif curi motosikal tumpas

Ahmad Sukarno (tiga dari kiri) menunjukkan rangka motosikal yang dijumpai di Sungai Kampung Mulia, Gombak. - Foto SINARHARIAN/ Rosli Talib
Ahmad Sukarno (tiga dari kiri) menunjukkan rangka motosikal yang dijumpai di Sungai Kampung Mulia, Gombak. - Foto SINARHARIAN/ Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan Geng Ayoi yang aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal susulan penahanan tiga lelaki secara berasingan di Setapak dan Gombak pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 24 hingga 32 tahun.

"Kita berjaya menjumpai 26 rangka motosikal dan dua enjin bernilai RM100,000 di Sungai Kampung Mulia, Gombak.

"Kumpulan penjenayah itu disyaki membuang rangka motosikal ke dalam sungai adalah untuk menghapuskan bukti," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Selasa.

Ahmad Sukarno berkata, hasil semakan nombor casis oleh forensik Polis Diraja Malaysia, pihaknya telah mengenal pasti 10 rangka motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang.

"Selebihnya tidak dapat dikenal pasti kerana nombor casis tersebut telah dikacau ganggu," ujarnya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125z dan Yamaha LC135.

"Setelah sesebuah motosikal dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan 'allen key' yang diubah suai untuk mencuri motosikal terbabit.

"Kesemua motosikal yang telah dicuri akan dileraikan terlebih dahulu sebelum dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model sesebuah motosikal," jelasnya.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Kita telah berjaya menyelesaikan 23 kes kecurian motosikal, di mana 19 kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan empat kes di Selangor.

"Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.