Tiada ‘deep state’ di Malaysia

A
A
A

MALAYSIA adalah sebuah negara berdaulat dan mempunyai kerajaan dan undang-undangnya yang diiktiraf oleh masyarakat dunia.

Sejak beroleh kemerdekaan daripada British pada tahun 1957 dan penubuhan Malaysia pada 1963, Malaysia telah melalui pelbagai jatuh dan naik sepanjang sejarahnya dan kini mempunyai sistem politik yang matang dan diterima ramai.

Kejayaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018 juga adalah satu bukti jelas bahawa Malaysia mengangkat nilai demokrasi matang dan patuh kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, apabila Menteri Luar Negeri, Datuk Saifudin Abdullah dalam satu kenyataannya pada 7 April lalu, bahawa terdapat kewujudan ‘deep state’ yang merancang untuk memanipulasi sentimen rakyat selepas kerajaan menarik semula keputusan untuk Malaysia menyertai Statut Rom, ia adalah amat tidak bertanggungjawab bagi seorang Menteri Kabinet yang dipilih rakyat dan dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara yang berdaulat.

Apakah itu ‘deep state’? ‘Deep state’ atau lebih dikenali sebagai ‘state within a state’ merujuk kepada sebuah kerajaan atau jaringan (network) sulit yang beroperasi secara bebas oleh kepimpinan negara untuk mencapai agenda peribadi berbanding kepentingan rakyat.

Elemen ‘deep state’ ini sering dikaitkan dengan kerajaan Amerika Syarikat di mana elit-elit di Washington D.C akan menentukan kepimpinan negara yang memberikan keuntungan kepada mereka walau siapa pun yang akan menjadi presiden atau pemimpin negara kuasa besar itu.

Sehingga kini tiada bukti kukuh wujudnya ‘deep state’ dan bukti-bukti yang dikemukakan oleh ramai pengkaji, teori ini hanya kebetulan semata-mata.

Sekiranya Malaysia mempunyai elemen deep state dan elemen ini sangat berkuasa menentukan hala tuju kepimpinan negara, mengapa mereka membiarkan sahaja kerajaan Pakatan Harapan memerintah dan berdiam diri apabila dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan sekarang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kos sara hidup rakyat.

Artikel Berkaitan:

Mengapakah elemen ini tidak mempengaruhi kerajaan dalam keputusan-keputusan penting seperti pelantikan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan lain-lain jawatan sensitif dalam kerajaan. Semua ini dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Oleh itu, janganlah kita cuba mengalihkan pandangan rakyat dan kesilapan sendiri kepada entiti lain. Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara telah menggariskan apa itu Malaysia dan kerajaannya.

Secara mudahnya tiada ‘deep state’ di Malaysia, yang ada hanya 3R iaitu Religion, Race dan Rulers yang hidup secara organik sejak kemerdekaan untuk menyatukan rakyat.

Perlembagaan Persekutuan mengangkat Islam sebagai Agama Persekutuan di mana elemen kerajaan dan rakyat diperkukuhkan oleh Islam.

Islam sebagai agama yang syumul dan ajarannya membawa kepada penyatuan ummah baik orang Melayu-Islam sebagai bangsa teras dan lain-lain kaum yang hidup aman dan bahagia di dalam mana-mana bahagian Persekutuan.

Melayu pula sebagai bangsa teras di Malaysia memberi jaminan bahawa hak-hak kaum lain akan terus dipertahankan dengan syarat hak-hak mereka yang dijamin kerajaan sentiasa dilindungi dan tidak dicabar oleh kaum-kaum lain.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pula ialah ketua negara dan negeri serta ketua agama Islam yang dijamin peranan dan pengaruhnya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Tiada yang tersembunyi langsung dan semuanya digariskan secara nyata, terang dan tanpa terbuka untuk interpretasi secara undang-undang.

Oleh kerana 3R ini dinyatakan secara terang, Malaysia telah terbukti berjaya meletakkannya seiring dengan negara-negara membangun yang lain malah dicontohi akan rekod kemajuan ekonominya serta keharmonian rakyat berbilang bangsanya.

Justeru, dakwaan Saifudin bahawa wujud ‘deep state’ ini hanyalah satu alasan untuk beliau menutup kelemahan dalam isu ICERD dan Statut Rom.

Beliau seharusnya bermuhasabah dan tindakan menuding jari kepada satu entiti yang tidak wujud menampakkan lagi kelemahan tersebut.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia