Ramai tidak tahu bunuh diri satu jenayah - Ahmad Yunus

Ahmad Yunus ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ahmad Yunus ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mendakwa ramai rakyat tidak mengetahui bunuh diri dikategorikan sebagai jenayah sehingga kadar kematian akibat perbuatan tersebut gagal menunjukkan penurunan.

Menurutnya, hasil laporan media termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), kemurungan adalah faktor paling utama cubaan bunuh diri berlaku.

“Cubaan bunuh diri sebelum ini dikategorikan sebagai salah satu kesalahan jenayah. Adakah bermakna hukuman atau akta atau undang-undang sedia ada selama ini telah gagal untuk kita implementasi dalam negara.

“Adakah suatu kajian dibuat sama ada ia benar-benar tidak dapat menghalang percubaan-percubaan bunuh diri yang berlaku dalam negara kita,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Tambah Ahmad Yunus, lebih merisaukan apabila kemurungan atau tingkah laku bunuh diri itu semakin meningkat dalam kalangan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun yang semestinya memberikan kesan kepada masa depan mereka.

“Peluang mendapatkan pendidikan selanjutnya atau peluang pekerjaan mungkin sukar sekiranya mereka ini menerima hukuman daripada undang-undang sedia ada," katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu mencari jalan lain bagi menangani masalah tersebut tanpa semata-mata menangkap dan menyerahkan mereka kepada hospital untuk di diagnosis sebagai masalah mental.

Jelasnya, kerajaan juga harus mencari elemen lain yang mungkin boleh digunakan termasuklah kaedah rawatan melalui sudut keagamaan dan menempatkan mereka di pusat pemulihan.

“Mungkin rawatan dari sudut keagamaan. Bagi orang Islam, mungkin pendekatan agama Islam itu sendiri sebagai rawatan untuk mereka pulih semula. (Selain itu) saya mengharapkan tanggungjawab kerajaan menyediakan satu pusat untuk memulihkan atau merawat.

“Kalau masalah dadah, kita ada pusat serenti, kalau ini (bunuh diri) boleh adakan pusat pemulihan bermakna kita boleh membantu ramai masyarakat dan akhirnya matlamat kita mengurangkan tingkah laku bunuh diri dapat kita kurangkan,” ujarnya.

Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 pertama kali dibentangkan Timbalan Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh pada 4 April lalu bagi bacaan kali pertama dan bacaan kali kedua dan diluluskan pada Isnin.