Jemaah haji usah berlengah jika alami simptom strok haba

Ashrof memberikan ucapan ketika majlis bacaan Yasin dan solat hajat sempena ketibaan jemaah haji Malaysia 21 Mei ini.
Ashrof memberikan ucapan ketika majlis bacaan Yasin dan solat hajat sempena ketibaan jemaah haji Malaysia 21 Mei ini.
A
A
A

MADINAH - Dalam kalangan petugas haji di sini, keadaan cuaca panas yang ekstrem sentiasa menjadi topik perbualan kerana sebagai rakyat Malaysia yang membesar di iklim panas lembap, suhu panas di Madinah yang panas kering amat memeritkan.

Pada Jumaat misalnya, ketika bergerak dari hotel penginapan Roha ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat fardu Jumaat, bahang kepanasan jelas terasa ketika menaiki kenderaan walaupun dilengkapi pendingin hawa.

Apabila sampai di pekarangan Masjid Nabawi walaupun hanya perlu berjalan beberapa meter, kesan pancaran matahari secara terus pada suhu 40 darjah Celsius kira-kira jam 11.30 pagi juga ketara terasa bahangnya.

Mujurlah di pekarangan Masjid Nabawi terdapat kipas angin berwap dan payung raksasa berukuran 25 meter lebar dan 20 meter tinggi dapat melindungi jemaah daripada pancaran matahari apabila tidak dapat bersolat di dalam masjid.

Mengulas mengenai keadaan cuaca itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Asraf Ahmad Qamruddin berkata, cuaca panas dan kering boleh menyebabkan kenaikan suhu dan kehilangan air badan sehingga mengakibatkan strok haba jika terdedah kepada cuaca secara terus.

Kipas angin berwap dan payung raksasa dapat mengurangkan impak kepanasan di pekarangan Masjid Nabawi untuk keselesaan jemaah yang tidak dapat solat di dalam masjid.
Kipas angin berwap dan payung raksasa dapat mengurangkan impak kepanasan di pekarangan Masjid Nabawi untuk keselesaan jemaah yang tidak dapat solat di dalam masjid.

Katanya, cuaca ekstrem itu juga yang rata-ratanya melebihi 40 darjah Celsius setiap hari di Madinah boleh menyebabkan jemaah haji mengalami strok haba.

Oleh itu, Dr Asraf menasihatkan jemaah haji supaya peka terhadap simptom strok haba seperti kulit, lidah dan bibir kering, tanda kemerah-merahan, pening kepala, kekejangan otot serta pengsan.

“Jemaah haji perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom-simptom tersebut di pusat kesihatan yang disediakan Tabung Haji (TH).

“Strok haba jika tidak dicegah dan dirawat awal boleh menyebabkan kematian," katanya kepada media Malaysia di sini.

Kata beliau lagi, dalam cuaca seperti ini, semua jemaah haji berisiko untuk terkena strok haba, namun warga emas berusia lebih 60 tahun dan golongan yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis dan buah pinggang adalah lebih berisiko.

"Cara pencegahan daripada mengalami strok haba adalah kita perlu mengelakkan daripada berada di bawah panas matahari yg terik untuk satu tempoh masa yang lama.

"Memastikan kita sentiasa menghidrasi diri kita dengan minum sekurang-kurangnya dua liter air, memakai payung atau losyen pelindung matahari dan memakai pakaian yang longgar," katanya.

Mengulas mengenai penggunaan sabun mandi yang dikatakan boleh menyebabkan kulit seseorang itu boleh menjadi kering, Dr Asraf berkata ia sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri.

“Mungkin sesetengah sabun tidak sesuai dengan keadaan kulit kita, ataupun kita alah dengan sesetengah jenis sabun,” katanya.

Beliau turut menggalakkan jemaah haji supaya memakai pelitup muka kerana dengan perlindungan diri itu ia dapat mengelakkan habuk dan jangkitan penyakit-penyakit lain.

“Di sini banyak jemaah daripada pelbagai latar belakang negara, kita tidak tahu penyakit yang mereka bawa. Ada yang bersin, batuk dan macam-macam lagi, maka elok pakai pelitup muka,”katanya.

Mohon perlindungan ALLAH

Sementara itu, pada Jumaat malam, TH telah menganjurkan majlis bacaan Yasin dan solat hajat bagi memohon perlindungan daripada ALLAH SWT supaya urusan jemaah haji kali ini lancar dan dipermudahkan.

Pengarah Operasi di Madinah, Ashrof Shamsuddin dalam ucapan semasa majlis itu turut mengingatkan semua 160 petugas di Madinah ketika ini agar menyantuni sebaiknya duyufurrahman (tetamu ALLAH) yang akan tiba tidak lama lagi.

Katanya, petugas yang terdiri daripada pasukan perubatan dan kebajikan perlu bergabung tenaga untuk membantu jemaah dari setiap sudut supaya mereka dapat menunaikan haji dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur.

“Doakan juga supaya ahli keluarga kita yang berada di tanah air berada dalam lindungan ALLAH kerana mereka juga berkorban mengizinkan kita untuk datang sini bagi berkhidmat kepada jemaah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Zon Satu Madinah bagi musim haji kali ini, Mohamad Abas mengingatkan jemaah haji supaya sentiasa memakai lencana disediakan TH bagi memudahkan petugas memberikan bantuan jika berlaku sebarang kecemasan.

Berdasarkan pengalaman sendiri, Mohamad berkata, lencana TH menjadi penyelamat apabila dia dihantar dengan segera ke pusat rawatan dikendalikan TH apabila pengsan sebelum ini.

“Jika tak pakai lencana mungkin saya dihantar ke mana-mana hospital Arab Saudi yang sudah pasti menyukarkan pasukan petugas TH untuk mencari saya selepas kejadian itu,”katanya.

Menyentuh mengenai kediaman yang bakal didiami jemaah yang tiba ke Madinah, Mohamad berkata mereka semua akan ditempatkan di Saja Al Madinah, Anwar Al Madinah Movenpick dan Emaar Royal Hotel.

Mohamad menunjukkan bilik yang bakal didiami jemaah di Madinah.
Mohamad menunjukkan bilik yang bakal didiami jemaah di Madinah.

Katanya, hotel-hotel tersebut amat selesa kerana bertaraf lima bintang dan hanya beberapa meter daripada Masjid Nabawi.

“Kita harap semua jemaah dapat memanfaatkan peluang berada di sini untuk beribadah dengan selesa,” katanya.

Selain itu katanya, jemaah yang tiba di Madinah akan berada selama enam hari di kota itu dan pelbagai program telah disusun untuk manfaat semua jemaah.