Scammer di sebalik badan kebajikan

Bagi mengaburi pihak berkuasa kegiatan ubah wang haram

Antara rampasan barang kes untuk tindakan di bawah AMLA membabitkan sindiket penipuan pelaburan.
Antara rampasan barang kes untuk tindakan di bawah AMLA membabitkan sindiket penipuan pelaburan.
A
A
A

SINDIKET penipuan kini semakin licik malah sanggup berselindung di sebalik nama badan kebajikan untuk memperdaya mangsa yang bersifat pemurah.

Bukan itu sahaja, untuk memanipulasi keadaan, penjenayah terbabit akan memulakan taktik mereka dengan merekrut individu berpengaruh serta popular kononnya aktiviti mereka adalah menggunakan duit halal.

Jenayah pengubahan wang haram bukan sahaja membabitkan wang yang diperoleh daripada hasil penipuan, malah kes seperti penyeludupan, narkotik, rasuah dan lari daripada cukai juga dikesan.

Mustafar. - Foto: Mohd Halim Abdul Wahid
Mustafar. - Foto: Mohd Halim Abdul Wahid

Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Mustafar Ali berkata, unit pencegahan pengubahan wang haram (AML) dalam agensi penguat kuasa di Malaysia adalah bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Menurutnya, antara agensi penguat kuasa yang banyak memainkan peranan dalam aspek penyiasatan AML ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perhutanan serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Antara skrip penipuan yang digunakan sindiket scam pelaburan berjaya ditemui ketika operasi SPRM di Lembah Klang, Februari lalu.
Antara skrip penipuan yang digunakan sindiket scam pelaburan berjaya ditemui ketika operasi SPRM di Lembah Klang, Februari lalu.

“AML dalam setiap agensi penguat kuasa akan bertanggungjawab dalam menguruskan analisis kewangan dan jejak kewangan bagi sesuatu kes siasatan AMLA berkaitan dengan seksyen kesalahan dalam jadual kedua AMLATFPUAA.

“AML juga menguruskan penjejakan aset, pemulihan aset, pembekuan, penyitaan dan lucut hak.

“Siasatan juga dilaksanakan terutama bagi kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mustafar berkata, AMLA kini merupakan senjata utama untuk menangani jenayah berskala besar, berprofil tinggi dan bersindiket.

Mengulas mengenai modus operasi jenayah pengubahan wang haram, beliau berkata, terdapat tiga peringkat untuk ‘cuci’ duit.

Katanya, pertama ialah placement (penempatan), kedua layering (pelapisan) dan ketiga integration (integrasi).

“Duit itu ialah duit hasil kegiatan jenayah sama ada hasil perjudian, pelacuran, rasuah dan lain-lain.

“Wang yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam bank atau perniagaan yang sah dan inilah yang dipanggil proses placement. Ia ibarat penyucian duit haram tersebut.

“Peringkat kedua ialah memindahkan duit itu ke akaun lain bagi menghilangkan jejak. Contohnya dengan membuka syarikat perniagaan yang diwujudkan semata-mata untuk mencuci wang haram.

“Integration pula adalah tindakan menukarkan wang haram kepada aset seperti pembelian hartanah dan kenderaan mewah.

“Selain itu, ada juga trend membeli jam tangan mewah atau membeli lukisan bernilai jutaan ringgit. Ini adalah salah satu aset yang digunakan untuk mengaburi aktiviti haram mereka,” ujarnya.

Tambah Mustafar, pihak berkuasa juga mengesan wujud syarikat yang menawarkan pulangan pelaburan dalam amaun yang tidak masuk akal.

“Misalnya melabur RM3,000 dan akan terima pulangan setiap minggu atau bulanan dengan menggunakan konsep sistem piramid. Mereka (suspek) lari daripada cukai bagi elak dikesan pengaliran wang haram,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terdapat taktik cuci duit yang berselindung di sebalik kewujudan yayasan kebajikan sama ada berunsur keagamaan mahupun sosial.

“Mereka gunakan program-program agama dengan mengumpul dana malah mengambil ruang dan peluang menarik selebriti serta individu berpengaruh.

“Individu popular ini mungkin dipergunakan dan mungkin tidak mengetahui perkara itu.

“Ada juga yang dikesan melantik tokoh tertentu sebelum menyedari syarikat terbabit terlibat dengan jenayah penipuan atau scammer,” katanya.

Katanya lagi, scammer ini percaya dengan melantik individu berpengaruh mereka dapat mengelak daripada tindakan pihak berkuasa.

Usaha hapus scammer

Menurut Mustafar, Pusat Scam Respons Kebangsaan (NSRC) ditubuhkan sebagai salah satu inisiatif bagi menangani kes jenayah penipuan siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.

“NSRC adalah sebuah pusat respons setempat yang menggabungkan sumber dan kepakaran daripada NFCC, polis, BNM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi-institusi perbankan serta syarikat perkhidmatan telekomunikasi.

“Banyak scammer dikesan aktif di media sosial sehingga mangsa rugi dalam jumlah yang tinggi,” katanya.

“Love Scam, Macau Scam membuat pulangan dahsyat hingga mangsa serahkan duit. Kita nampak perkara itu dan perlu kewaspadaan di media sosial,” ujarnya.

SPRM menahan beberapa individu pada Februari lalu disyaki terlibat sindiket penipuan pelaburan untuk siasatan kes pengubahan wang haram.
SPRM menahan beberapa individu pada Februari lalu disyaki terlibat sindiket penipuan pelaburan untuk siasatan kes pengubahan wang haram.

Kata beliau, ada sindiket ini beroperasi di kondominium, rumah kedai selain premis dua tingkat dan sering berpindah dalam tempoh tertentu bagi menyukarkan dikesan pihak berkuasa.

“Di sinilah peranan AMLA amat besar dalam memutuskan rantaian jaringan jenayah penipuan,” katanya.

Dedahnya, setakat Mac lalu sejak NSRC mula beroperasi pada 12 Oktober 2022, jumlah panggilan scammer direkodkan adalah sebanyak 26,025.

“Daripada jumlah panggilan itu, terdapat 10,106 kes dicatatkan membabitkan kerugian bernilai RM88.4 juta dengan 22,679 keldai akaun disyaki terlibat,” katanya.

Dari segi hukuman, Mustafar menjelaskan ia melibatkan kesalahan berat dalam Jadual Kedua AMLATFPUAA iaitu kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1) dan penalti adalah boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.

“Terdapat 425 kesalahan berat daripada 51 peruntukan undang-undang yang disenaraikan di bawah Jadual Kedua AMLATFPUAA,” katanya.

Jam tangan mewah antara rampasan susulan tumpas sindiket penipuan pelaburan di sekitar Lembah Klang, pada tahun 2020.
Jam tangan mewah antara rampasan susulan tumpas sindiket penipuan pelaburan di sekitar Lembah Klang, pada tahun 2020.

Jelasnya lanjut, pegawai penyiasat AMLA mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah pembekuan mengikut Seksyen 44(1) ke atas akaun yang disyaki selama tempoh 90 hari.

“Setelah tamat tempoh 90 hari, pegawai penyiasat perlu mendapatkan perintah penyitaan akaun daripada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 50(1). Perintah sitaan mempunyai tempoh sah selama sembilan bulan.

“Dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pembekuan atau sitaan akaun, pertuduhan atau permohonan lucut hak perlu dikemukakan oleh agensi penguat kuasa dan sekiranya tiada pertuduhan dibuat atau permohonan lucut hak dibuat, akaun tersebut perlu dilepaskan,” katanya.

Modus operandi cuci duit

i. Placement (penempatan) - Masukkan duit haram ke bank

ii. Layering (pelapisan) - Pindah duit, buka syarikat

iii. Integration (integrasi) - Pembelian aset seperti hartanah, kenderaan mewah

Tindakan

Siasatan dan hukuman adalah berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

KRONOLOGI

10 Mei 2023

Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif institut automotif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas sembilan pertuduhan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM4 juta pada 2021 dan 2022.

Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, antara lain didakwa terlibat dengan transaksi daripada aktiviti haram dengan memberi arahan kepada peguamnya, Tetuan Norizan & Associates melalui Letter of Instruction to Release untuk memindahkan wang kepada dua individu, sebuah firma guaman dan sebuah syarikat dengan jumlah keseluruhan RM750,000.

9 Mac 2023

Pihak berkuasa di Kuala Lumpur telah membekukan RM24.3 juta yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram termasuk aktiviti penipuan kewangan dalam talian.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu diperoleh hasil aduan yang diterima oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) berhubung kegiatan penipuan wang.

Sejak NSRC beroperasi pada 12 Oktober 2022 hingga 31 Januari 2023, sebanyak 16,752 panggilan aduan diterima.

30 Januari 2023

Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas sembilan pertuduhan menerima, memindahkan dan melupuskan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM700,000, tiga tahun lalu.

Ahmad Yusri Mohd Yunus, 67, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun. Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang berjumlah RM705,625 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada sebuah syarikat ke akaun semasa miliknya.

4 Januari 2023

Seorang bekas pegawai syarikat minyak dan gas mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas 37 pertuduhan rasuah melibatkan wang RM6.1 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM940,000.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-21, Mohd Amal M Razalan, 36, didakwa melakukan kesalahan itu dalam 21 transaksi daripada seorang pengarah syarikat, sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat lain mendapatkan kontrak ‘Provision of Civil & Structural Maintenance Services’.

Bagi tiga pertuduhan lain, dia dituduh atas kes sama melalui tiga transaksi daripada seorang pengurus projek, bagi menyemak dan mempersetujui dokumen ‘Job Completion Ticket’ (JCT).