Minyak Iraq selamatkan Lubnan daripada bergelap

Pada 2020, Beirut dan Baghdad bersetuju untuk mengeksport lebihan minyak Iraq ke Lubnan. - Gambar hiasan.
Pada 2020, Beirut dan Baghdad bersetuju untuk mengeksport lebihan minyak Iraq ke Lubnan. - Gambar hiasan.
A
A
A

KAHERAH - Minyak Iraq menyelamatkan Lubnan daripada bergelap, kata pemangku Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati pada Khamis, lapor Sputnik.

"Jika bukan kerana minyak Iraq, Lubnan pastinya langsung tidak mempunyai bekalan elektrik,” kata Mikati kepada penyiar Al Iraqiya.

Mikati berkata, minyak yang dibekalkan Iraq, khususnya membantu mengekalkan bekalan kuasa ke pelabuhan Beirut dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut-Rafic Hariri.

Pada 2020, Beirut dan Baghdad bersetuju untuk mengeksport lebihan minyak Iraq ke Lubnan.

Awal minggu ini, kedua-dua pihak melanjutkan perjanjian yang menetapkan Baghdad menambah 50 peratus penghantaran minyak ke Lubnan kepada 1.5 juta tan minyak setahun.

Lubnan mengalami krisis ekonomi yang teruk sejak 2019 apabila sistem kewangan negara itu runtuh akibat hutang negara dan paun Lubnan kehilangan 90 peratus nilainya menyebabkan kemerosotan dalam kuasa beli penduduk.

Bank Dunia menyifatkan krisis Lubnan sebagai "kemelesetan yang disengajakan" disebabkan oleh salah urus pemimpin Lubnan dan kekurangan dasar yang berkesan.

Krisis Lubnan disenaraikan dalam tiga episod krisis paling teruk di dunia sejak pertengahan abad kesembilan belas. - Bernama