Isu perlembagaan negeri terbatal

A
A
A

BARU-BARU ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menulis dalam blog beliau bahawa Perlembagaan Negeri Johor (berkuat kuasa pada tahun 1895) dan Terengganu (berkuat kuasa pada tahun 1911) adalah terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan diperkenalkan ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

Dalam mengeluarkan kenyataan ini, Perdana Menteri dikatakan menulis dalam rasa tidak puas hati terhadap pelantikan tiga ahli Exco baharu Johor, iaitu Tosrin Jarvanthi dan Mohd Solihan Badri daripada Bersatu serta Tan Chen Choon daripada DAP.

Dr Mahathir, sebagaimana persetujuan awal, dikatakan tidak mahu ada perubahan pada kedudukan Exco Johor, kecuali penambahan seorang lagi Exco daripada Bersatu bagi menggantikan Dr Shahruddin yang telah dilantik sebagai Menteri Besar.

Namun, adakah Dr Mahathir tepat dalam mengatakan bahawa Perlembagaan Negeri Johor dan Terengganu adalah terbatal setelah Perlembagaan Persekutuan diperkenalkan? Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa kepada Parlimen untuk memantau negeri-negeri agar mematuhi Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya Perlembagaan Negeri dipinda untuk memberikan lebih kuasa kepada sultan di luar daripada apa yang telah diperuntukkan di bawah Jadual Kelapan, Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi menyelaraskan peruntukan-peruntukan di bawah Jadual Kelapan terhadap Perlembagaan Negeri tersebut atau menghapuskan mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan kepada interpretasi Perkara 71 dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, serta situasi yang sedang berlaku sekarang terutamanya di Johor, Perlembagaan Negeri Johor mahupun Perlembagaan Negeri Terengganu sebenarnya bukanlah terbatal.

Sebaliknya, kedua-dua Perlembagaan Negeri yang dikatakan terbatal oleh Perdana Menteri ini telah melalui proses ubahsuai (modifikasi) agar selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Maksud ‘diubahsuai’ ini merujuk kepada jika berlaku sebarang percanggahan atau ketidakpatuhan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Negeri, maka peruntukan-peruntukan tersebut akan diubahsuai agar selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya Jadual Kelapan.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, agak tidak kena pada konteksnya jika dikatakan Perlembagaan Johor dan Terengganu terbatal kononnya bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan. Percanggahan yang bagaimana dimaksudkan oleh Perdana Menteri?

Malah, langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir mengenai Perlembagaan Negeri tersebut terbatal juga tidak tepat. Anwar berkata kenyataan Dr Mahathir itu adalah berdasarkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan dan menjadi pendirian kerajaan hari ini.

Bagaimana mungkin kerajaan Persekutuan berpendirian bahawa Perlembagaan Negeri Johor dan Terengganu adalah tidak sah? Tidak terfikirkah mereka implikasi undang-undang bakal menyinggahi kepada pentadbiran negeri Johor dan Terengganu itu nanti?

Kenyataan mengenai ketidaksahan sesebuah perlembagaan negeri terutamanya melibatkan bidang kuasa sultan adalah satu perkara yang tidak boleh diambil ringan. Apatah lagi apabila kenyataan tersebut datang daripada Perdana Menteri.

Tuduhan seperti ini sebenarnya memerlukan khidmat nasihat yang lebih arif terutamanya daripada Peguam Negara. Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri tidak sama impaknya dengan kenyataan oleh menteri kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri boleh dianggap sebagai pendirian semasa kerajaan.

Harus difahami bahawa antara prinsip umum Perlembagaan Persekutuan ialah apa-apa undang-undang yang bercanggahan dengan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah setakat mana ia bercanggahan sahaja.

Ini bermaksud, seandainya benar terdapat percanggahan antara Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan sekalipun, ketidaksahan peruntukan dalam Perlembagaan Negeri hanya setakat apa yang bercanggahan. Ia tidak membatalkan keseluruhan Perlembagaan Negeri tersebut.

Tiba masa untuk kerajaan Persekutuan mencari titik persamaan dengan institusi diraja agar geruh ini tidak kekal menjadi keruh.

* Haeme Hashim ialah peguam di HaemeHashim & Co