Usaha Ayob Khan sukar jika dia 'berseorangan' - NGO

Gambar kecil: Yusuf
Gambar kecil: Yusuf
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia) menyambut baik ketegasan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memerangi aktiviti perjudian di negara ini.

Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi berkata, kesungguhan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay melaungkan amaran terhadap ketua polis daerah yang didapati gagal menangani aktiviti perjudian di daerah masing-masing merupakan langkah tepat.

Katanya, sudah sampai masanya untuk negara memerangi habis-habisan isu yang tidak pernah berakhir, malah memberi kesan besar kepada mereka yang terjebak dalam aktiviti perjudian.

Namun begitu menurutnya, usaha yang digerakkan oleh Ayob Khan itu mungkin sukar dilaksanakan sekiranya dia 'berseorangan' dan tidak mendapat sokongan penuh daripada semua pihak.

"Apa yang boleh Semboyan Malaysia katakan, Ayob Khan mempunyai sifat perjuangan yang sangat tinggi dalam memerangi isu perjudian di negara ini.

"Tetapi sekiranya beliau berseorangan dan tidak mendapat sokongan daripada semua pihak, ia kemungkinan besar tidak akan mencapai matlamat suci ini.

"Oleh sebab itu, usaha ini perlu mendapat sokongan dan dokongan penuh daripada kepimpinan utama negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan misi 'jihad' ini berjaya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Yusuf berkata, Perdana Menteri mempunyai kuasa veto (kuasa penuh) untuk membantu Ayob Khan melaksanakan tugas dan perjuangan memerangi perjudian dengan jaya.

Untuk itu jelasnya, Ayob Khan perlu mengadakan satu perbincangan dan mengemukakan strategi kepada Perdana Menteri bagi melaksana tugasan perangi perjudian secara besar-besaran.

Selepas itu menurutnya, Perdana Menteri boleh membuat pengumuman rasmi terhadap ketegasan negara membasmi aktiviti perjudian, sekali gus memberi keyakinan kepada golongan pelaksana undang-undang memeranginya.

Selain itu katanya, sokongan daripada institusi diraja juga diperlukan bagi menguatkan lagi misi perjuangan membasmi aktiviti perjudian di peringkat negeri.

"Kita semua sedia maklum bahawa isu perjudian ini sudah lama berlaku dan ia sangat sukar untuk dihapuskan sepenuhnya.

"Malah tidak semua penjawat awam yang bertugas bersetuju dan bersekongkol dengan isu perjudian, namun mereka terpaksa melakukannya kerana patuh kepada arahan diberikan.

"Oleh itu, isu ini perlu penglibatan pihak yang mempunyai kuasa penuh termasuk Perdana Menteri dan institusi diraja agar ia dapat dilaksanakan sebaiknya tanpa ada campur tangan pihak tertentu," ujarnya.