Tindakan tukar, buang kerja sahaja tidak mencukupi

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

AMARAN Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk mengenakan tindakan tegas kepada ketua polis daerah (OCPD) di seluruh negara yang didapati gagal menangani aktiviti perjudian di daerah masing-masing amat dipuji.

Menurut Ayob Khan, beliau menerima maklumat ada dalam kalangan ketua polis daerah Kontinjen Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila diminta menghantar pasukan khas D7 JSJ Bukit Aman bagi mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.

Pendedahan yang dibuat Ayob Khan amat memeranjatkan kerana sebagai pegawai dan anggota polis yang diberi amanah memastikan kawasan di bawah jagaan masing-masing bebas jenayah termasuk aktiviti perjudian haram, mereka sepatutnya mengalu-alukan sebarang tindakan yang diambil untuk membanteras jenayah dan bukannya melahirkan rasa tidak puas hati.

Perasaan tidak puas hati OCPD berkenaan juga membuktikan dakwaan segelintir anggota polis menerima bayaran bulanan untuk melindungi premis judi haram adalah berasas dan ia menjadi punca kegiatan tersebut di negara ini sukar dihapuskan biarpun ia telah lama berleluasa.

Amaran yang diberi oleh Ayob Khan itu perlu dipandang serius oleh semua OCPD kerana beliau bukanlah seorang yang suka memberi amaran kosong semata-mata.

Ayob Khan terkenal dengan sikap tegasnya. Lihat sahaja tindakan-tindakan tegas yang diambil oleh beliau ke atas pegawai dan anggota polis terlibat dengan jenayah sepanjang bergelar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Ketua Polis Johor.

Sebelum ini, terdapat juga OCPD dan beberapa pegawai telah ditukar serta-merta sebelum dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja kerana kegagalan mereka membendung kegiatan judi haram di daerah masing-masing.

Namun, adakah tindakan menukar dan membuang kerja sahaja mencukupi untuk menggerunkan OCPD dan pegawai polis, yang mata mereka selama ini telah dikaburkan dengan limpahan wang mudah diperoleh daripada sindiket perjudian haram tersebut.

Pegawai dan anggota polis yang didapati menerima rasuah daripada sindiket perjudian bagi melindungi kegiatan berkenaan perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), didakwa di mahkamah dan diberi hukuman yang seberat-beratnya termasuk dipenjarakan agar ia dapat dijadikan pengajaran.