KRPPM-IGAR sasar laksana tiga reformasi institusi, perundangan

Syed Ibrahim ketika sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Syed Ibrahim ketika sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM)- Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) menyasarkan tiga cadangan reformasi institusi dan perundangan akan segera dilaksanakan dalam penggal Parlimen ini.

Pengerusi KRPPM-IGAR Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya optimis tiga cadangan itu, iaitu Pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya, Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dapat dilaksanakan kerana semua cadangan itu kini sudah diperingkat draf.

“Kita akan fokus kepada lapan reformasi, tetapi kali ini kita fokus kepada tiga dahulu.

“Maksudnya kita percaya tiga yang utama ini ia boleh dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Katanya, dalam usaha ke arah itu, KRPPM-IGAR juga telah dan akan menemui pihak berkepentingan bagi merealisasikan perkara berkenaan.

“Jadi bagi saya kita akan melaksanakan atau mencari jalan untuk membawa perkara ini kepada perhatian pihak yang berkenaan sama ada kementerian, menteri, Dewan Rakyat.

“Sebagai ahli Parlimen juga kami semua bertanggungjawab untuk membawa perkara ini ke hadapan, dan tidak mustahil (dilaksanakan) sebab beberapa perkara ini sudah pun ada di atas meja kerajaan sekarang, seperti Akta Perolehan Pemberi Maklumat, Ombudsman yang ada kaitan dengan reformasi SPRM dan Plan Antirasuah Nasional,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, perkara ini juga tidak mungkin akan menerima halangan untuk dilaksanakan.

“Mungkin kalau di peringkat dasar tak nampak apa-apa lagi, tetapi sebenarnya yang penting adalah draf itu sudah ada.

“Ia sudah sampai kepada pihak kerajaan, jadi saya percaya tidak susah dilakukan dalam Parlimen akan datang atau pada tahun ini,” katanya.

Program itu turut dihadiri timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pakar Ekonomi dan Politik, Dr Edmund Terence Gomez; Pengasas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel; Pengasas Undi18, Tharma Pillai dan Sekretariat KRPPM, Nurhayati Nordin.

Ahli jawatankuasa KRPPM-IGAR yang hadir ialah Datuk Sivaraj Chandran, Ir Khairil Nizam Khirudin Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan, Dr Muhammed Taufiq Johari, Khoo Poay Tiong, Azli Yusof.