NaSIC '23 platform kongsi idea penyelesaian lestari kitar semula

Pelancaran NaSIC'23 telah diadakan secara maya pada Sabtu.
Pelancaran NaSIC'23 telah diadakan secara maya pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) bersama Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur menganjurkan National Sustainability Innovation Challenge 2023 (NaSIC’23) yang bertujuan untuk menangani subjek ‘circularity’ dalam landskap peruncitan.

Pelancaran NaSIC '23 telah disempurnakan secara maya pada Sabtu oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin diiringi oleh Dekan MJIIT, UTM Kuala Lumpur, Profesor Ts. Dr Ali Selamat, Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur, Profesor Ts. Dr Abdul Latif Saleh dan Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Azmel.

Lotus’s Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Lotus’s Malaysia merupakan peruncit pertama menganjurkan cabaran seperti itu melalui kerjasama di antara pihak awam dan swasta sekali gus mengukuhkan lagi komitmennya terhadap isu kelestarian.

“NaSIC’23 merupakan satu platform yang memberi laluan kepada pelajar dari sekolah di seluruh negara yang berumur 16 hingga 19 tahun untuk berkongsi idea penyelesaian lestari bagi mengurangkan, mengitar semula dan menggantikan plastik sekali guna dalam pasar raya Lotus’s.

“Sebanyak 130 pasukan daripada 77 sekolah telah mendaftar dalam pertandingan ini sejak diumumkan pada 12 April 2023. Pada pelancaran hari ini, 50 pasukan telah terpilih dan layak untuk ke pusingan separuh akhir, di mana mereka kemudiannya akan bersaing untuk merebut peluang ke peringkat akhir yang bakal diadakan pada 22 Julai 2023 di Lotus’s Selayang,” jelas kenyataan itu.

Azliza berkata, Lotus’s Malaysia teruja kerana MJIIT-UTM telah memilih peruncit itu sebagai rakan kongsi mereka untuk NaSIC’23.

“Saya tidak sabar untuk mendengar cadangan dan idea yang akan dikongsikan oleh para pelajar dalam membawa perspektif baharu dan penyelesaian lestari yang boleh diadaptasikan ke dalam operasi perniagaan kami.

“Inisiatif seperti ini merupakan salah satu cara bagi menerapkan kelestarian dalam semua aspek pendidikan dan memperkasakan anak-anak muda untuk mewujudkan masa depan yang mampan,” kata Azliza.

Beliau berkata, sepanjang Mei dan Jun, seramai 150 pelajar daripada 50 pasukan akan menghadiri beberapa siri bengkel susulan yang dibimbing dan difasilitasi oleh pakar-pakar dari MJIIT-UTM.

Para peserta akan melontarkan idea-idea inovatif mereka secara maya melalui platform Webex pada 17 Jun 2023 untuk penempatan pada peringkat akhir.

Sementara itu, Dr Ali berkata, pertandingan itu direka untuk merangkumi proses penyelesaian masalah secara keseluruhan bagi menghasilkan idea yang inovatif dan untuk membantu pelajar-pelajar membina kemahiran insanian mereka.

“Kesemua fasilitasi yang akan dijalankan dalam siri bengkel susulan telah dibangunkan berdasarkan rangka kerja pemikiran dan model pitching Need, Approach, Benefits and Competition (NABC). Ini membantu para pelajar untuk mengenalpasti jalan penyelesaian dan cara untuk berkomunikasi dengan berkesan.

“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UTM memainkan peranan yang amat penting untuk meningkatkan kesedaran, mendidik dan menyediakan generasi seterusnya untuk menangani cabaran sebenar yang dialami oleh syarikat peruncitan seperti Lotus’s Malaysia,” ujarnya.

Idea-idea dan cadangan-cadangan yang terpilih untuk mengurangkan, mengitar semula dan menggantikan plastik sekali guna akan menerima hadiah bernilai lebih dari RM2,500.

MJIIT-UTM juga mempunyai pelan untuk membangunkan idea tersebut supaya sesuai digunapakai dalam operasi Lotus’s Malaysia dan industri peruncitan secara keseluruhan.