Lima bot pukat tunda bernilai RM2 juta dirampas

Rosman (tengah) dan Muhamad Yusof (kiri) memeriksa tangkapan ikan dalam salah sebuah bot pukat tunda kelas C di Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban, hari ini.
Rosman (tengah) dan Muhamad Yusof (kiri) memeriksa tangkapan ikan dalam salah sebuah bot pukat tunda kelas C di Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban, hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai lima tekong dan 20 awak-awak warga Thai ditahan bersama lima bot pukat tunda kelas C oleh pasukan Polis Marin dalam Operasi Gelora di Kuala Kerian, Perak, kelmarin.

Kesemua tekong dan awak-awak berusia 42 hingga 51 tahun itu ditahan selepas dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di perairan Perak antara jam 4 hingga 5.15 petang.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah (1), Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, krew bot berkenaan ditahan kerana disyaki menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika.

"Sepatutnya bot pukat tunda kelas C dan C2 perlu menangkap ikan lebih dari 15 batu nautika kerana kemampuan bot berkenaan. Namun, mereka bersama kelima-lima bot ditahan di perairan Perak kerana didapati menangkap ikan tidak ikut syarat ditetapkan.

"Kesemua bot bernilai RM2 juta itu dirampas dalam operasi yang dibuat dengan kerjasama Jabatan Perikanan di perairan Pulau Pinang dan Perak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Muhamad Yusof Nor Jasman di Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban di sini, hari ini.

Rosman berkata, hasil laut seberat 3,200 tan dan bernilai lebih RM20,000 dari kelima-lima bot milik penduduk tempatan berkenaan turut dirampas.

"Operasi ini dibuat selepas mendapat aduan nelayan yang mendakwa kawasan tangkapan mereka diceroboh oleh bot pukat kelas C. Tindakan bot ini menyebabkan zon untuk bot kelas A dan B akan terjejas kerana bot kelas C ini akan merosakkan habitat dan anak-anak ikan.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai terdekat. Bot dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk tindakan lanjut," katanya.