Trend upah pekerja di Malaysia membimbangkan - Pakar

Gaji dan upah kepada pekerja adalah antara ukuran pendapatan yang penting bagi menilai manfaat kepada pekerja. (Gambar kecil: Noor Azlan)
Gaji dan upah kepada pekerja adalah antara ukuran pendapatan yang penting bagi menilai manfaat kepada pekerja. (Gambar kecil: Noor Azlan)
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya 37.2 peratus pendapatan negara sampai ke poket pekerja dan selebihnya kepada majikan atau pemilik modal, kata pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Menurutnya, perkara ini berbeza dengan negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom apabila pekerja memperolehi 55 peratus dan 53.4 peratus daripada pendapatan negara.

"Trend upah juga membimbangkan, secara umumnya malar. Meningkat tetapi dengan kadar yang perlahan.

"Pada tahun 2010 kadar upah penengah pekerja ialah RM1,500 dan kini ianya RM2,250. Kemalaran kadar upah lebih nyata bagi pekerja separa mahir dan tidak berkemahiran," katanya di Facebook pada Sabtu.

Noor Azlan berkata, lebih membimbangkan ialah pada masa sama hanya 28 peratus daripada pekerja Malaysia dikategorikan sebagai pekerja mahir manakala 60 peratus pekerja separa mahir dan 12 peratus pekerja berkemahiran rendah.

Ujarnya, semua pihak memerlukan pekerja mahir yang lebih ramai untuk menjadi negara maju.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan semasa pandemik Covid-19 melanda, pengangguran memuncak pada Mei 2020 dengan seramai 826,000 orang melibatkan kadar pengangguran mencecah 5.3 peratus.

"Terkini (Februari, 2023) sekitar 592,000 orang daripada tenaga kerja Malaysia menganggur dengan kadar pengangguran menurun ke 3.5 peratus. Menerusi kadar pengangguran 3.5 peratus Malaysia dianggap mencapai tahap guna tenaga penuh.

"Ia satu petanda pemulihan ekonomi makro, kembali ke status ekonomi pra-pandemik. Namun, kita masih berhadapan dengan dua cabaran besar guna tenaga iaitu kualiti pekerjaan dan kualiti ganjaran kepada pekerja selain ini bukan permasalahan baharu, sudah dikenal pasti sebelum pandemik lagi," jelasnya.

Noor Azlan berkata, perkara sedemikian adalah cabaran struktur pasaran buruh dan ia antara syarat utama untuk Malaysia melonjak menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Jelasnya, daripada 16.2 juta orang yang bekerja, hampir 1.9 juta pekerja dianggap ‘underemployed by skill’ iaitu pekerja yang mempunyai kelulusan tertiari tetapi bekerja dalam pekerjaan tidak setanding dengan kelulusan mereka.

Katanya lagi, saban tahun, bilangan pekerja yang tidak dapat memanfaatkan kelulusan pendidikan mereka semakin meningkat yang mana pada 2017 hanya 1.3 juta berada dalam kategori tersebut.

"Trend yang semakin membarah ini mesti ditangani segera. Satu kerugian kepada negara dan pekerja apabila pencapaian pendidikan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya," ujarnya.

Justeru, beliau berkata, komitmen Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia adalah usaha yang tepat dan dialu-alukan.

Menurutnya, fahami perkara yang mengekang kenaikan gaji dan upah selain meletakkan sasaran, bentuk strategi yang berkesan, melaksanakan serta melaporkan pencapaian.

"Pekerja adalah pemangkin Malaysia Madani dan apakah ertinya Malaysia Madani ini kepada pekerja? Kesejahteraan, Hormat dan Ihsan adalah antara 6 rukun Malaysia Madani.

"Angkat martabat pekerja dengan peningkatan pekerjaan dan ganjaran bekerja yang berkualiti. Ia adalah Madani buat pekerja," jelas beliau.