Operasi SAR Orang Asli dikhuatiri dibaham harimau diteruskan

Sepuluh anggota Perhilitan yang ditugaskan masuk melalui jalan sungai menggunakan kenu ke hulu sungai lokasi kejadian seorang lelaki Orang Asli dilaporkan hilang dikhuatiri diserang haiwan liar di Sungai Aring, hari ini. Foto Bernama
Sepuluh anggota Perhilitan yang ditugaskan masuk melalui jalan sungai menggunakan kenu ke hulu sungai lokasi kejadian seorang lelaki Orang Asli dilaporkan hilang dikhuatiri diserang haiwan liar di Sungai Aring, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki Orang Asli Bateq yang dilaporkan hilang dikhuatiri diserang harimau ketika memancing di hulu Sungai Aring, Kampung Aring 5, di sini, diteruskan pada hari kedua hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintenden Azmi Mokhtar berkata, kumpulan 14 anggota penyelamat yang terdiri daripada anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terpaksa bermalam di dalam hutan malam tadi.

Beliau berkata, kumpulan penyelamat berkenaan meneruskan perjalanan pagi ini dan belum tiba di tempat kejadian yang berjarak sembilan kilometer (km) dari Kampung Aring 5.

"Seawal 8 pagi hari ini mereka sudah bergerak ke tempat kejadian dan sudah sampai sejauh jarak lima kilometer. Agak sukar menganggarkan masa yang tepat untuk sampai ke lokasi memandangkan kawasan berbukit.

"Terdapat kumpulan tambahan pencari melibatkan 10 anggota Perhilitan bagi kumpulan pertama yang masuk (ke hutan) melalui jalan sungai menggunakan kanu, manakala kumpulan kedua terdiri daripada 16 anggota menggunakan jalan darat,” katanya kepada pemberita di Kampung Aring 5 di sini hari ini.

Azmi berkata, SAR berkenaan juga akan dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula esok.

"Kanu digunakan kerana terdapat jeram dan risiko kayu balak melintang jalan. Kita ada bot daripada pihak polis, bomba serta APM tetapi apabila kita selidik bersama masyarakat Orang Asli, kita dapati bot tidak lepas untuk ke sana.

"Jadi kita terpaksa gunakan cara lain iaitu kanu,” katanya.

Dilaporkan, mangsa iaitu Halim Asin, 27, hilang ketika sedang memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang, lapan tahun, kira-kira 11.30 pagi semalam. - Bernama