Apa akan berlaku pada PRU15

A
A
A

DALAM situasi politik hari ini berbagai kemungkinan boleh berlaku tanpa dijangka. Bukan sahaja disebabkan faktor politik, tetapi kadang kala dipengaruhi kelakuan manusia.

Penganalisis politik menggunakan kemahiran mereka untuk menjangka sesuatu yang akan berlaku dalam masa terdekat.

Terdapat juga analisis yang menggunakan formula matematik kebarangkalian yang akan berlaku dalam tempoh tiga waktu iaitu tempoh pendek antara enam bulan ke bawah, tempoh sederhana antara enam bulan hingga setahun dan tempoh panjang antara setahun hingga tiga tahun.

Formula ini menggunakan pemboleh ubah-pemboleh ubah yang melibatkan aktor-aktor politik dalam strategi mereka. Walaupun tidak menggunakan perisian canggih tetapi selalunya masih boleh dipercayai disebabkan setiap kelakuan manusia ada penyebab dan akibatnya.

Selain itu, faktor penglibatan NGO dan NGI dalam dunia politik sama ada secara langsung atau tidak yang dikaitkan dengan parti politik tertentu tidak boleh dikesampingkan. Pengaruh kumpulan itu ada kalanya lebih kuat daripada parti politik.

NGO dan NGI tersebut bertungkus-lumus untuk memenangkan sesuatu parti bukan berdasarkan keuntungan laba politik, tetapi disebabkan fikrah perjuangan. Fikrah perjuangan adalah sesuatu yang sentimental bagi sesetengah parti politik. Ada kalanya NGO dan NGI digunakan dalam peperangan strategi taktikal perjuangan politik. NGO dan NGI lebih tinggi motivasinya berbanding ahli-ahli yang menyertai parti politik. Ini selalunya dilupakan oleh penganalisis politik apabila meramalkan sesuatu yang bakal berlaku.

Jika diamati, dunia politik hari ini selalunya dikaitkan dengan tentera upahan siber bagi mematahkan serangan setiap isu parti lawan. Pada masa sama menyebarkan propaganda parti yang dianggotai oleh tentera siber tersebut.

Memang benar ada kesan, tetapi impaknya pada sentimen mood pengundi. Secara kebiasaan sentimen mood pengundi hanya mempengaruhi antara 30 hingga 50 peratus pengundi untuk mengundi sesuatu parti.

Artikel Berkaitan:

Tetapi sentimen mood pengundi ini tidak mampu menggerakkan pengundi untuk keluar undi andai kata psikologi pengundi masih dalam keadaan selesa. Situasi ini memerlukan penggerak dalam pengubahan psikologi pengundi iaitu peranan NGO, NGI dan penyokong ahli-ahli parti tersebut.

Walau apa pun yang berlaku, selalunya wujud satu sindrom untuk melemahkan parti lawan. Tetapi yang berlaku di negara ini masih lagi permulaan bagi satu aliran politik yang bakal menggantikan politik baharu. Bagi blok parti pembangkang yang dulunya merupakan parti pemerintah, masih belum kuat pengukuhan dan penyatuannya. Di Sabah dan Sarawak, blok pembangkang masih berpecah dan masing-masing membawa haluan sendiri.

Kepimpinan sedia ada kurang berupaya untuk menangani persepsi rakyat, khususnya di Sabah. Ini memerlukan usaha yang lebih jitu dalam menguatkan dan menyatukan parti pembangkang di Sabah dan Sarawak.

Hanya pemimpin Sabah dan Sarawak memahami hasrat dan persepsi rakyat dua negeri tersebut. Adalah sukar untuk pemimpin Semenanjung mempengaruhi rakyat Sabah dan Sarawak disebabkan budaya politiknya jauh berbeza dengan apa yang berlaku.

Di Semenanjung, gabungan Pas dan UMNO belum lagi membuktikan kekuatan pengaruh sebenar. Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak boleh dijadikan ukuran kejayaan. Cuma kemenangan dalam PRK itu boleh digunakan untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan yang berlaku.

Tidak semestinya sokongan komuniti Melayu kepada gabungan Pas dan UMNO boleh digunakan sebagai sandaran untuk menggambarkan Kerajaan Pakatan Harapan kerajaan sepenggal.

Ini disebabkan apabila had umur pengundian diturunkan kepada 18 tahun maka bilangan peratusan golongan yang berumur antara 18 hingga 25 tahun ialah 20 peratus, merupakan satu bilangan yang besar dan mampu membawa kemenangan atau kekalahan kepada sesuatu parti.

Mereka ini ialah golongan anak-anak generasi Z yang membawa satu spirit of time yang berbeza dengan Generasi Y dan X.Ramalan kebarangkalian berdasarkan spirit of time antara setiap generasi mengikut peratusan jumlah pengundi dan gender mampu membawa kepada satu lagi kajian analisis yang cukup menarik.

Di sini peranan pakar strategi parti politik perlu merangka berbagai pelan alternatif. Tanpa pelan yang kukuh dan telah diuji lari, maka kemenangan parti politik dalam PRU15 hanyalah satu jangkaan sahaja.

* Dr Iskandar Hasan ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan