'Anwar pun kerap bangkit isu SD masa jadi pembangkang' - Faiz

Dr Muhammad Faiz - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Dr Muhammad Faiz - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya mengenang kembali 'sejarah' bahawa dirinya juga kerap membangkitkan isu akuan bersumpah (SD) dan miliki majoriti bagi membentuk kerajaan ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Justeru, menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'Aman, adalah tidak wajar untuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada Perikatan Nasional (PN).

"Kalau bercakap tentang kestabilan kerajaan, kita kena ingat, tengok dahulu sejarah Datuk Seri Anwar berapa kali sidang media yang dibuat bagi mengatakan beliau mempunyai majoriti mencukupi (untuk bentuk kerajaan).

"(Kalau diikutkan) itu pun boleh dikatakan menjadi salah satu usaha beliau untuk menjatuhkan atau menukar kerajaan (ketika itu)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Edisi 396 bertajuk Kamikaze Politik: Maruah atau Penting Diri? yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Selasa.

Program yang berlangsung kira-kira sejam itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Romli Ishak dan Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan berlakunya langkah kamikaze politik, Muhammad Faiz berkata, tahap ekstrem sedemikian tidak berlaku di negara ini.

Sebaliknya beliau menjelaskan, gerakan atau strategi politik yang diamalkan di negara ini masih mengikut undang-undang dan perlembagaan.

"Kita punya politik (di Malaysia) tidak sampai ke peringkat apa yang dikatakan sebagai kamikaze sangat.

"Tidak sampai ke tahap berlakunya penglibatan tentera atau pertumpahan darah seperti mana berlaku di luar negara," katanya.