Bekas CEO automotif didakwa lagi minta suapan RM5 juta

Mohamad Madani didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta. - Foto SPRM
Mohamad Madani didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta. - Foto SPRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat automotif yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima suapan RM5 juta, dituduh lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas pertuduhan meminta rasuah untuk nilai sama, dua tahun lalu.

Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa meminta rasuah daripada seorang lelaki berusia 37 tahun sebagai dorongan untuk dirinya membantu individu itu mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja berjumlah RM24 juta daripada Syarikat A2Z Technology Sdn Bhd iaitu syarikat subsidiari kepada The Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii).

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Solaris Dutamas di sini pada jam 11 pagi hingga 3 petang, Mei 2021 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam, Rahmat Hazlan.

Suzana membenarkan tertuduh dilepaskan dengan mengguna pakai ikat jamin (RM300,000) yang dikenakan Mahkamah Sesyen Shah Alam dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 14 April lalu, Mohamad Madani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta, daripada seorang individu sebagai upah bagi membantu sebuah syarikat mendapat surat penganugerahan berjumlah RM12 juta.