Norhizam kini sah Pengerusi Pengakap Melaka

Norhizam (tengah) dilantik sebagai Pengerusi Pengakap Melaka yang baharu menerusi pemilihan pada mesyuarat agung tahunan Majlis Pengakap Melaka di Ayer Keroh, semalam.
Norhizam (tengah) dilantik sebagai Pengerusi Pengakap Melaka yang baharu menerusi pemilihan pada mesyuarat agung tahunan Majlis Pengakap Melaka di Ayer Keroh, semalam.
A
A
A

MELAKA - Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee kini sah dilantik sebagai Pengerusi Pengakap negeri yang baharu menerusi pemilihan mesyuarat agung tahunan Majlis Pengakap Melaka, semalam.

Mesyuarat agung sebelum ini yang diadakan pada 10 November tahun lalu dianggap tidak sah oleh Persekutuan Pengakap Malaysia kerana tidak mematuhi prosedur organisasi dan peraturan (POR) Persekutuan Pengakap dan undang-undang kecil Majlis Pengakap negeri.

Norhizam ketika ditemui menganggap pelantikan tersebut sebagai satu tanggungjawab besar kepadanya terutama ketika badan tersebut berdepan isu kewangan yang serius.

"Pengakap negeri mempunyai beberapa aset termasuk sewaan bangunan, kedai dan tanah yang dijangka perolehan pendapatan sekitar RM9,000 sebulan. Tetapi malangnya kesemua wang berkenaan tidak diketahui masuk ke akaun siapa.

"Begitu juga wang simpanan tetap yang dimaklumkan berjumlah RM400,000 turut lesap dan hari ini baki wang di dalam akaun Pengakap Melaka berjumlah kira-kira RM16,000 sahaja," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu yang diadakan di Ayer Keroh di sini, semalam.

Sementara itu, Norhizam berkata, pihaknya akan membantu untuk membangunkan semula pengakap negeri secara berperingkat terutama kemusnahan yang berlaku di Kem Pengakap Negeri di Bukit Katil.

"Kita turut mengalu-alukan sumbangan dari pihak yang ingin membantu membangunkan semula pengakap negeri terutama syarikat-syarikat korporat," katanya.

Sinar Harian, awal April lalu melaporkan barisan ahli jawatankuasa Persekutuan Pengakap Malaysia Melaka sesi 2015 hingga 2018 diberi tempoh selama seminggu untuk menyerahkan segala dokumen berkaitan termasuk laporan kewangan persatuan itu.

Artikel Berkaitan:

Norhizam yang ketika itu Pemangku Pengerusi pertubuhan berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan SPRM jika jawatankuasa lama itu gagal mengemukakan kesemua dokumen terbabit dalam tempoh ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Pengakap Negara diminta tampil selesai kecelaruan

Beliau difahamkan semenjak tahun 2012 laporan kewangan pertubuhan itu gagal dibentangkan dan diaudit oleh juruaudit bertauliah.